KELOID menyebabkan parut timbul  meluas di muka hingga mampu mendatangkan hilang keyakinan diri, murung.
KELOID menyebabkan parut timbul meluas di muka hingga mampu mendatangkan hilang keyakinan diri, murung.
Muhamaad Razis Ismail


PARUT keloid di beberapa bahagian anggota badan yang terdedah menghantuinya sejak beberapa tahun lalu.

Masalah yang dihadapi wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Erin ini menyebabkannya hilang keyakinan diri, malu dan tertekan apabila berhadapan dengan orang ramai.

Lebih serius, parut yang timbul di mukanya itu turut memberi kesan terhadap kesihatan mentalnya apabila sering mengalami kebimbangan melampau dan kemurungan.

Erin berkata, masalah bermula apabila beliau memicit jerawat yang timbul di mukanya sehingga luka.

Katanya, kebiasaannya, luka jerawat akan kering dan sembuh kembali seperti sedia kala dalam tempoh beberapa hari sahaja.

"Bagaimanapun, sebaliknya berlaku apabila luka itu menyebabkan parut menimbul dan semakin membesar. Kesilapan saya adalah membiarkan ia berlaku terlalu lama sehingga ia semakin membesar.

"Masalah itu menyebabkan, saya malu untuk berhadapan dengan orang ramai. Bukan setakat itu, ingin melihat muka sendiri di cermin pun tidak sanggup.

"Saya tertekan dan mengalami masalah keyakinan diri apabila berdepan dengan orang ramai. Untuk menyembunyikan parut di wajah, saya memakai pelitup muka sepanjang masa apabila berada di luar," katanya.

Menurutnya, oleh kerana tidak tahan dengan masalah yang dihadapi, dia ke klinik untuk membuat pemeriksaan lanjut dan disahkan mengalami keloid.

"Saya difahamkan, keloid boleh dirawat melalui beberapa kaedah rawatan dan mengambil masa untuk sembuh.

"Kini, saya masih menjalani rawatan secara konsisten untuk mengecilkan parut. Harapan saya dapat pulih sepenuhnya semula," katanya.

Sementara itu, Pakar Estetik Klinik Lovina, Mejar (B) Dr Hamidah Mohd Salleh berkata, keloid adalah sejenis parut yang membesar dan meninggi di permukaan kulit.

Biasanya apabila luka, kulit akan menghasilkan protein yang dinamakan sebagai kolagen untuk proses penyembuhan.

"Keloid berlaku apabila, kolagen yang dihasilkan secara berlebihan sehingga menyebabkan parut timbul dan meluas di kawasan luka. Antara contoh keloid yang biasa dilihat adalah luka suntikan imunisasi Bacillus Calmette Guerin (BCG) dan selepas melahirkan anak melalui pembedahan.

"Ia boleh terjadi terhadap semua jenis luka termasuk jerawat, chicken pox, menindik, pembedahan dan kadang kala calar di anggota badan boleh mengakibatkan masalah ini. Ia biasanya terjadi di dada, bahu, belakang badan, muka dan telinga," katanya.

Menurutnya, sehingga kini punca sebenar parut keloid berlaku masih belum dikenal pasti.

"Namun ramai pakar kesihatan tidak menolak kemungkinan ia berpunca daripada beberapa sebab termasuk genetik, sejarah keluarga yang pernah mendapat keloid atau sistem imun yang terlalu aktif," katanya.

Dr Hamidah berkata, antara simptom awal keloid, adalah seseorang itu akan mengalami kesakitan atau gatal di bahagian luka ketika proses penyembuhan sedang berlaku.

"Kemudian, luka yang sepatutnya berubah ke warna asal akan berubah kemerah-merahan dan rasa gatal sebelum parut itu akan timbul," katanya.

Tambahnya, keloid yang terjadi di bahagian badan memberi kesan terhadap fizikal individu.

"Keloid di dada boleh menyebabkan ketidakselesaan dan kadang kala mengundang rasa sakit apabila memakai baju. Malah, saya sendiri pernah bertemu pesakit terpaksa tidur dalam keadaan mengiring dan meniarap, kerana keloid tumbuh di belakang badan.

"Masalah ini turut menyebabkan pergerakan terbatas terutama keloid di bahagian sendi anggota badan," katanya.

Selain itu, keloid di bahagian badan yang terdedah boleh mengakibatkan emosi dan psikologi terjejas.

"Seseorang akan berasa rendah diri dan sering mengelakkan daripada melakukan aktiviti tertentu seperti berenang. Lebih parah, seseorang itu boleh mengalami kebimbangan melampau dan kemurungan apabila masalah ini dibiarkan berlarutan," katanya.

Jelasnya, ramai yang memperoleh maklumat salah bahawa keloid tidak boleh dirawat dan sembuh.

"Sebenarnya keloid boleh dirawat tapi agak rumit dan mencabar kerana ia memerlukan rawatan berulang kali dalam satu tempoh yang lama bergantung kepada tahap masalah yang dihadapi.

"Antara pilihan rawatan yang disediakan termasuk suntikan steroid, cecair nitrogen, pembedahan dan sinar laser," katanya.

Beliau berkata, antara langkah yang boleh diambil untuk mencegah keloid adalah mengikut arahan doktor dalam penjagaan luka.

"Sekiranya anda mengenal pasti gejala keloid, dapatkan rawatan segera kerana ia lebih berkesan apabila dilakukan lebih awal berbanding parut yang sudah membesar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 April 2023 @ 7:00 AM