PARUT boleh menjejaskan penampilan serta keyakinan diri seseorang.
PARUT boleh menjejaskan penampilan serta keyakinan diri seseorang.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


PARUT tidak kira di muka atau bahagian anggota badan lain memang sukar untuk dihilangkan atau dipudarkan sepenuhnya.

Walaupun sudah sembuh dan tidak menyakitkan, namun kehadiran parut terutama bekas jerawat boleh menjejaskan penampilan serta keyakinan diri seseorang.

Ada banyak produk membantu menghilangkan dan memudarkan kesan parut di pasaran, namun kebanyakannya menggunakan bahan kimia tertentu yang boleh menyebabkan keradangan pada kulit.

Harganya juga boleh tahan dan tidak semua mampu untuk membelinya.

Sebagai alternatif, ada banyak bahan semula jadi di dapur dan sekitar rumah yang boleh digunakan untuk membantu menghilangkan kesan parut.

Antaranya pokok lidah buaya, isi dalam daunnya boleh digunakan untuk disapu kepada parut.

Ia bukan sahaja membantu menghilangkan parut, malah turut menyejukkan kulit.

Jika anda mempunyai stok minyak zaitun atau minyak kelapa di dapur juga sesuai kerana ia boleh digunakan untuk membantu menghilangkan parut.

Caranya mudah iaitu titiskan sedikit minyak zaitun atau minyak kelapa pada jari serta sapu di sekitar kawasan kulit yang berparut.

ISI daun lidah buaya dapat membantu menghilangkan parut dan menyejukkan kulit.
ISI daun lidah buaya dapat membantu menghilangkan parut dan menyejukkan kulit.

Kesan perbezaanya boleh dilihat selepas beberapa ketika dan sebaiknya lakukan setiap hari.

Selain itu, madu juga dipercayai dapat membantu memudarkan kesan parut terutama pada kulit wajah.

Ia boleh digunakan terus pada parut dan urut perlahan-lahan di kawasan sekitarnya.

Biarkan ia kering seketika kemudian baru dibilas dan untuk melihat perbezaannya, amalkan setiap hari.

Satu lagi bahan masakan yang sentiasa ada di dapur ialah kulit kayu manis.

SAYURAN seperti timun dikatakan dapat membantu menghilangkan kesan parut.
SAYURAN seperti timun dikatakan dapat membantu menghilangkan kesan parut.

Rempah itu dikatakan memiliki kandungan antioksidan tinggi yang dapat membantu mengurangkan kerosakan radikal bebas dan perlahankan proses penuaan.

Ciri-cirinya yang antiradang juga melindungi kulit daripada jangkitan dan ruam.

Caranya mudah iaitu kisar kulit kayu manis dan campurkan sedikit air, apabila siap jadikannya sebagai pupur untuk muka.

Dalam pada itu, sayur seperti kentang, tomato dan timun juga dikatakan dapat membantu menghilangkan kesan parut.

Anda hanya perlu hiris sayur segar berkenaan dan sapukan kepada parut.

Ia boleh diamalkan setiap hari kerana selain membantu memudarkan kesan parut, sayur-sayuran itu juga dapat menyegarkan kulit wajah.

MADU juga dipercayai dapat membantu memudarkan kesan parut terutama pada kulit wajah.
MADU juga dipercayai dapat membantu memudarkan kesan parut terutama pada kulit wajah.

Sementara itu, potongan buah lemon atau limau nipis juga boleh digunakan untuk memudarkan kesan parut.

Potongan buah itu boleh dioles pada kawasan parut dan ia boleh dilakukan setiap hari.

Apa pun perlu diingat bahawa bahan semula jadi biasanya mengambil masa lama untuk mendapatkan hasilnya.

Namun, ia dijamin selamat untuk semua jenis kulit dan tidak menyebabkan kerengsaan.

Lebih penting, semua bahan berkenaan mudah didapati, murah dan tiada kesan sampingan untuk kulit anda.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Februari 2023 @ 9:20 AM