WANITA Bidayuh yang masih mempertahankan legasi tradisi nenek moyang mereka.
WANITA Bidayuh yang masih mempertahankan legasi tradisi nenek moyang mereka.
Rosli Mohd Nordin


SETIAP bangsa dan etnik pastinya memiliki warisan budaya yang mencakupi aspek makanan, bahasa, pakaian, perhiasan, seni bina, pantang larang dan sebagainya yang membentuk ketamadunan dan legasi yang tersendiri.

Di Malaysia, ia tidak terkecuali kerana kepelbagaian bangsa, etnik dan sub etnik khususnya yang terdapat di Sabah dan Sarawak.

Sarawak yang digelar Bumi Kenyalang umpamanya membariskan profil lebih 40 kaum dan etnik serta sub-etnik yang mendiami negeri itu pastinya memberi kepelbagaian warna dan rempah ratus kehidupan yang sangat harmonis kepada hampir tiga juta populasinya.

Kunjungan penulis ke empangan Bengoh (Siburan, Padawan) bagi mendekati empat wanita Bidayuh yang masih setia dengan budaya memakai gelang tembaga di kaki dan tangan mereka memberi satu dimensi baharu terhadap budaya yang hampir pupus ini.

Etnik Bidayuh boleh dibahagikan kepada lima pecahan iaitu etnik Selakau atau Lara, etnik Jagoi atau Singai, etnik Biatah, etnik Bukar atau Sadong dan etnik Bidayuh Kuching Tengah atau lebih dikenali sebagai Bidayuh Baru atau Bidayuh Moden.

Sebelum empangan Bengoh dibina bagi tujuan bekalan air bersih dan hidro elektrik, ia adalah kawasan hutan berbukit yang mempunyai beberapa kampung penempatan orang Bidayuh.

Ratusan penduduk dari beberapa kampung dipindahkan ke penempatan Kampung Semban Baru (Skim Penempatan Semula Bengoh), kira-kira satu jam perjalanan dari bandar Kuching.

TAWUD Luhan yang berusia 77 tahun adalah salah seorang daripada empat orang wanita Bidayuh yang masih setia dengan budaya memakai gelang tembaga.
TAWUD Luhan yang berusia 77 tahun adalah salah seorang daripada empat orang wanita Bidayuh yang masih setia dengan budaya memakai gelang tembaga.

Hanya penempatan yang berada di kawasan tinggi sahaja masih kekal di empangan Bengoh selepas kawasan rendah ditenggelamkan. Kerja-kerja pembinaan empangan Bengoh bermula pada 2007 dan siap sepenuhnya pada tahun 2010.

Budaya pemakaian gelang tembaga dalam kalangan wanita Bidayuh mencecah usia lebih 400 tahun, suatu ketika dahulu menjadi aksesori wajib untuk setiap wanita etnik itu sehingga jumlah pemakainya berjumlah ribuan orang.

Anat Umgom, 51, berkata, terdapat pelbagai faktor menyebabkan populariti pemakaian gelang tembaga di tangan yang dikenali sebagai ruyang dan perhiasan kaki dipanggil rasung ini semakin pudar.

"Budaya ini sering dikaitkan dengan nilai kecantikan, status kekayaan dan 'kebangsawanan' wanita Bidayuh, namun ia bakal hilang ditelan zaman.

"Kini hanya terdapat empat sahaja wanita Bidayuh di Kampung Semban Baru yang masih setia dengan budaya berkenaan," katanya.

Selain Anat, tiga orang lagi ialah Singai Nekan, 71, Tawud Luhan ,77, dan Dashin Ngarong, 63, masih setia dengan budaya itu.

ROSLI (empat dari kiri) bersama krew pengambaran dan ke empat-empat wanita Bidayuh bergelang tembaga terakhir.
ROSLI (empat dari kiri) bersama krew pengambaran dan ke empat-empat wanita Bidayuh bergelang tembaga terakhir.

Manakala dua orang lagi sudah meninggal dunia iaitu Nyadi Dolah, 92, dan Ranyu Daiee.

Dashin berkata, ramai yang tidak mahu memakainya kerana merasakan ia menyakitkan, menyusahkan pergerakan dan aktiviti fizikal seharian.

"Selain itu, gelang tembaga berkenaan juga perlu dicuci menggunakan daun, bagi generasi muda wanita Bidayuh yang terdedah dengan kehidupan moden ia dikatakan satu ritual yang menyukarkan.

"Jadi mereka tidak mahu memakainya, apatah lagi anak-anak dan cucu-cucu kami sekarang," jelas Dashin yang mula memakai gelang tembaga seawal usia 10 tahun.

Sebagai generasi wanita Bidayuh yang memakai gelang tembaga paling tua dalam kumpulan terakhir itu, Tawud berkata, ketebalan dawai tembaga yang dipakai di kaki dan tangan adalah berbeza.

"Dawai tembaga yang tebal kebiasaannya digunakan untuk membuat gelang di bahagian kaki manakala dawai tembaga yang lebih nipis digunakan untuk membuat gelang di bahagian lengan.

WANITA Bidayuh amat mahir menghasilkan pelbagai peralatan rumah dan kraftangan daripada akar kayu, buluh dan pokok yang tumbuh meliar sekitar penempatan mereka.
WANITA Bidayuh amat mahir menghasilkan pelbagai peralatan rumah dan kraftangan daripada akar kayu, buluh dan pokok yang tumbuh meliar sekitar penempatan mereka.

"Sebelum memulakan proses melilit gelang dawai pada kaki dan lengan, dawai yang baru dibeli akan dipanaskan dengan bara api selama beberapa minit bagi memudahkan proses melentur dan kemudiannya diletakkan di dalam air sebelum dicuci dengan menggunakan air campuran perahan limau nipis," katanya.

Katanya lagi, proses melilit pula mengambil masa sehari suntuk. Kerja-kerja memakai gelang tembaga ini perlu dilakukan secara perlahan-lahan supaya ia tampak cantik dan kemas.

Pemakaian ruyang dan rasung tidak akan lengkap tanpa pakaian tradisional wanita Bidayuh.

Bercerita mengenai kostum, Singai berkata, set kostum yang biasa dipakai ialah terdiri daripada Bulang Sebi (hiasan kepala), Tumbih (rantai), Kain Ngumban (selempang merah), Sisink'ng dan Wi (tali pinggang), Baju Putang (blaus berwarna putih) serta Jemuh Sulam (kain sarung atau skirt). Ia dikenali sebagai tradisi unik 'Dayung Hmuai Semban'," jelas Singai sambil mengunyah sirih.

"Pada zaman dahulu memandangkan kekangan sumber kewangan dan material membuat baju (kostum), mereka menggunakan kain sedia ada khususnya kain berwarna putih (mudah dibeli) untuk menjadi Baju Putang yang menjadi kostum asli orang Bidayuh.

"Apabila kehidupan orang Bidayuh semakin terdedah dengan dunia moden, barulah berlaku transisi baju atau kostum mereka kepada lebih berwarna-warni," katanya.

Setiap warisan budaya tidak mengira etnik dan bangsa, pastinya mereka mempunyai pantang larang yang tersendiri, begitu juga dengan budaya pemakaian gelang tembaga ini dalam kalangan wanita Bidayuh.

Antaranya, si pemakai haruslah memberi upah kepada individu yang melakukan lilitan gelang tembaga dengan dua bungkus nasi dan lauk yang tidak masin. Sebagai contoh, lauk asam ikan dan lauk asam babi.

Pada zaman sekarang, dua bungkus nasi itu boleh digantikan dengan wang. Sekiranya pantang larang ini tidak dipatuhi, si pemakai akan merasa tidak selesa dan sukar bagi wanita berkenaan serasi memakai gelang itu bagi tempoh yang panjang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2023 @ 6:20 AM