NASIHAT orang tua kekal tersemat dalam ingatan Tokoh Anugerah Utama Pesona Wanita Johor 2022.
NASIHAT orang tua kekal tersemat dalam ingatan Tokoh Anugerah Utama Pesona Wanita Johor 2022.
Mohamad Fahd Rahmat


"KENAPA cakap tak cantik depan orang, kalau boleh jangan cakap macam itu," terngiang-ngiang teguran yang sering diberikan pada usia kanak-kanak, menyebabkan pemilik nama Profesor Datuk Dr Halimaton Hamdan ini, menjadi seorang yang sangat berhati-hati dengan pertuturannya sehingga kini.

Tokoh Anugerah Utama Pesona Wanita Johor 2022 ini, mengakui pedoman ditinggalkan allahyarhamah ibunya, Jamilah Jasmy itu sehingga kini dijunjung tinggi dalam kamus kehidupannya. 38

"Saya ini seorang ekstrovert, memang suka ke depan jumpa orang dari kecil lagi. Kadang-kadang saya suka bercakap tanpa berfikir dan terus terang, namun setiap kali saya buat macam itu mata dia (ibu) akan

'jegil'

," katanya yang kini bertugas sebagai profesor di Fakulti Teknologi & Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Mengakui asuhan orang tua banyak membentuk perilakunya, Dr Halimaton berkata, ibu dan bapanya disifatkan sebagai orang yang sangat berdisiplin dan tegas, apatah lagi beliau adalah anak sulung selain dilahirkan sebagai wanita.

Beliau berkata, disebabkan ayahnya, Hamdan Ismail bertugas sebagai pegawai polis dan sentiasa sibuk bekerja serta jarang menghabiskan masa di rumah, ibunya banyak memainkan peranan mengasuh serta mendidik anak-anak.

"Saya memiliki empat adik lelaki dan seorang adik bongsu perempuan. Disebabkan ayah sibuk di tempat kerja, saya setiap masa berada dengan emak.

"Malah saya sentiasa membantu emak saya di mana-mana, apa yang emak buat saya ikut dan perhatikan walaupun tak buat kerja rumah, tetapi dia pastikan saya tahu apa perkara yang dia lakukan.

"Ibu saya mengingatkan supaya sentiasa menjaga masa dan sangat penting termasuk waktu tidur dan bangun. Walaupun saya sekolah asrama, tetapi saya tidak boleh bangun selepas 6.30 pagi.

"Mesti bangun subuh sekitar enam hingga 6.30 pagi. Ibu memang tak bagi peluang berehat lebih, tidur selepas subuh pun tiada, malah sehingga hari saya memang tak pernah tidur siang macam mana penat sekali pun memang susah tidur siang," kata isteri kepada Profesor Madya Mohd Nazlan Mohd Muhid ini.

Katanya, ayahnya pula percaya perempuan Melayu mesti mahir melakukan kerja rumah termasuk menguasai bacaan al-Quran selain bersekolah di sekolah Melayu.

DR Halimaton (tengah) ketika menerima Anugerah Utama Pesona Wanita Johor 2022.
DR Halimaton (tengah) ketika menerima Anugerah Utama Pesona Wanita Johor 2022.

DR Halimaton (dua dari kanan) pada Program Sinar Harapan dan Menandatangani MoU Program MyHeart Siri 3 antara Yayasan My Prihatin dengan IJN Foundation 2018.
DR Halimaton (dua dari kanan) pada Program Sinar Harapan dan Menandatangani MoU Program MyHeart Siri 3 antara Yayasan My Prihatin dengan IJN Foundation 2018.

"Sebab itu ayah masukkan saya ke Sekolah Kebangsaan Bukit Senyum di Johor Bahru, Johor kerana dia mahu saya belajar agama dan mahir bahasa Melayu.

"Namun ayah tak menghalang saya masuk sekolah berasrama dan beraliran Inggeris asalkan saya belajar bersungguh-sungguh untuk terpilih," kata ibu kepada dua cahaya mata ini.

Mengimbau kembali perjalanan akademiknya kongsi Dr Halimaton, beliau melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah sarjana muda dan pascasiswazah dalam bidang kimia di Universiti Indiana dan Universiti Marshall di Amerika Syarikat.

Selain memperoleh doktor falsafah (PhD) dalam kimia fizikal di Universiti Cambridge, di mana beliau berada dalam kumpulan perintis wanita dan wanita Asia pertama yang diterima masuk ke Peterhouse, kolej tertua di universiti itu.

Kini beliau adalah ahli Persatuan Alumni Peterhouse.

Pada 2008 sahaja, beliau diiktiraf dalam 'Marquis Who's Who in Science & Engineering 10th Anniversary Edition.'

Sementara pada 2000 pula beliau menjadi Saintis Cemerlang - Pusat Biografi Antarabangsa, Cambridge, UK (2008/09).

Kekuatan beliau dalam penyelidikan diraikan UTM apabila universiti itu mengisytiharkan beliau sebagai Tokoh Penyelidik UTM 2008.

Beliau sentiasa mengingati pesan ayahnya supaya belajar bersungguh-sungguh kerana mereka bukan datang daripada keluarga senang.

"Ayah saya selalu berpesan dia bukan keluarga kaya dan banyak tanggungan serta tidak mampu nak hantar saya belajar ke luar negara.

"Kalau saya mahu, saya kena belajar bersungguh-sungguh dan bekerja keras sehingga mendapat bantuan biasiswa kerana kata ayah, jika sudah berjaya esok saya boleh beli apa sahaja tanpa ada sesiapa melarang," kata penerima anugerah 'The Merdeka Award Trust' yang ditubuhkan Petronas, ExxonMobil dan Shell untuk mengiktiraf dan memberi ganjaran kepada individu serta organisasi cemerlang.

Ia membabitkan hasil kerja dan pencapaian yang menyumbang kepada pertumbuhan negara serta menginspirasikan kehebatan rakyat Malaysia.

Katanya, allahyarhamah ibunya meninggal dunia dunia lima tahun lalu pada usia 82 tahun, manakala allahyarham ayahnya meninggal dunia secara mengejut ketika berusia 55 tahun tanpa apa-apa penyakit.

DR Halimaton (duduk kiri) dalam STF English Debating Team menjadi Johan Piala Perdana Menteri Sekolah Asrama Penuh 1974.
DR Halimaton (duduk kiri) dalam STF English Debating Team menjadi Johan Piala Perdana Menteri Sekolah Asrama Penuh 1974.

DR Halimaton (berdiri kiri) bersama suami, anak-anak, menantu dan cucu serta adiknya.
DR Halimaton (berdiri kiri) bersama suami, anak-anak, menantu dan cucu serta adiknya.

Tidak dinafikan, beliau begitu meminati semua jenis ilmu pengetahuan sejak kecil terutama dalam bidang seni termasuk nyanyian, lakonan, kraf tangan, jahitan, lukisan selain mempelajari instrumen muzik seperti gitar, rekoder serta piano.

"Bidang seni adalah hobi dan saya minat semua jenis ilmu pengetahuan termasuk bidang sains. Malah dari kecil saya sudah diasuh untuk terbabit dengan 'kerja tangan' atau kerja rumah.

"Pada masa sama, saya minat bidang seni dan pada usia lima tahun saya sudah mula membaca al-Quran dan saya khatam pada usia tujuh tahun," katanya.

Sikapnya yang sentiasa positif, berkeyakinan tinggi dan berdisiplin termasuk menjaga waktu adalah hasil asuhan ibu bapanya selain mewarisi kebaikan genetik mereka membantunya mengecapi kejayaan demi kejayaan sehingga hari ini.

"Ibu saya seorang yang bagus dengan kerja tangan dan pada saya siapa kita hari ini adalah berpunca daripada ibu bapa. Kalau ibu bapa mengasuh kita dengan cara betul di samping kelebihan genetik, Insya-Allah akan 'menjadi.'

"Saya sangat percaya tidak kira lelaki atau perempuan perlu belajar asas rumah tangga, kena belajar teori dan diamalkan.

"Sejak sekolah rendah saya sudah menjahit baju kurung sendiri. Ibu akan potong kain dan saya akan menyembat baju. Hingga akhirnya saya boleh menjahit baju dengan tangan sendiri.

"Ibu juga mengajarkan saya mengait stokin ketika dia mengandungkan anak keempat atau kelima dan memberi hasil kait itu kepada jururawat untuk dijual.

"Saya pula 'cepat tangkap' ilmu diajarkan ibu dan ayah pula tidak pernah menghalang minat saya, dia sentiasa menyokong saya untuk melakukan perkara diminati termasuk menyertai apa-apa pertandingan bakat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Disember 2022 @ 7:03 AM