BIBIR lembap dan merah antara idaman wanita.
BIBIR lembap dan merah antara idaman wanita.
Nurul Husna Mahmud


Memiliki bibir lembap dan kemerah-merahan adalah idaman setiap individu terutama wanita kerana ia 'simbol' kecantikan.

Bibir yang sihat dan cantik seperti penjagaan kulit, ia terkecuali mempunyai 'rutinnya' tersendiri.

Malah, bibir juga perlu dilindungi daripada perkara yang boleh menjejaskan kelembapannya terutama terdedah kepada sinaran ultra ungu (UV).

Bibir yang terdedah terhadap sinaran UV lebih mudah kering, mengelupas dan 'pecah' menyebabkan rasa tidak selesa termasuk hilang keyakinan diri.

Sementara itu, dalam satu kajian terhadap 299 orang yang mengenakan krim pelindung sinaran UV dengan betul dan hanya 37 peratus daripada mereka mengenakan pelindung bibir.

Senario itu menggambarkan kesedaran atau pengetahuan masyarakat terhadap penjagaan bibir masih rendah.

Selain cahaya matahari, faktor lain seperti udara tercemar, merokok dan bahan kimia juga mengakibatkan bibir kering serta pucat mahupun kehitaman.

PELEMBAP bibir boleh dihasilkan dari rumah.
PELEMBAP bibir boleh dihasilkan dari rumah.

Kaedah terbaik dalam menangani masalah itu ialah pemakaian pelindung bibir seperti pelembap bibir bersama kandungan bahan pelindung sinaran UV. Secara tidak langsung membantu meningkatkan kesihatan bibir.

Pelembap bibir digunakan sebaiknya mengandungi bahan seperti mentega shea atau 'shea butter,' minyak kelapa atau lilin lebah kerana dikatakan lembut pada kulit termasuk bibir, tetapi 'pengikat' lembapan baik.

LILIN lebah atau minyak aroma terapi antara ramuan digunakan.
LILIN lebah atau minyak aroma terapi antara ramuan digunakan.

Lebih baik pelembap bibir boleh dihasilkan di rumah menggunakan bahan lestari tanpa bahan kimia. Di sini dikongsikan beberapa kaedah dalam menghasilkan pelembap bibir versi lakukan sendiri (DIY) dari bahan di rumah.

a. Pelembap bibir oren

Bahan-bahan:

60 gram (gm) mentega koko

60gm lilin lebah

240gm minyak sayur (minyak zaitun/ minyak badam)

12 sudu kecil minyak aroma oren.

Cara penyediaan:

1. Menggunakan teknik 'double boiling' iaitu panaskan bahan seperti mentega koko, lilin lebah dan minyak sayuran sehingga tekstur cecair. Kacau bahan sehingga sebati.

2. Tutup api dan masukkan 12 titis atau sudu kecil minyak aroma oren.

3. Tuangkan dalam acuan atau bekas untuk digunakan.

b. Pelembap bibir Vitamin E

Bahan-bahan:

1 sudu besar lilin lebah (siap diparut)

1 sudu besar minyak kelapa dara

1 sudu kecil madu

2 kapsul vitamin E

Cara penyediaan:

1. Menggunakan teknik 'double boiling,' cairkan dahulu lilin lebah.

2. Apabila lilin lebah sudah menjadi cecair, tutup api dan masukkan minyak kelapa dara dan madu. Gaulkan semua bahan sehingga sebati.

3. Untuk vitamin E, buangkan sarung kapsul dan hanya masukkan kandungan vitamin E (serbuk atau pati). Sebelum campuran itu sejuk, alihkan ke bekas atau acuan untuk simpanan.

c. Pelembap bibir sirap mapel

5gm lilin lebah

3gm minyak kelapa dara

4gm minyak badam

4gm mentega koko

2gm lesitin soya

4gm sirap mapel

Cara penyediaan:

1. Campurkan mentega koko, minyak kelapa dara, lilin lebah, minyak badam, lesitin soya dan sirap mapel dalam periuk untuk dimasak menggunakan kaedah 'double boiling.'

2. Apabila semua bahan sudah mencair, kacau sehingga suhu beransur-ansur menurun.

3. Campuran itu sudah suam, pindahkan ke bekas simpanan.

* Gunakan bekas yang sesuai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 November 2022 @ 6:11 AM