KERUSI yang tidak mempunyai sokongan leher menyebabkan beban di belakang badan.
KERUSI yang tidak mempunyai sokongan leher menyebabkan beban di belakang badan.
Muhamaad Razis Ismail


KESIBUKAN dan leka menyiapkan tugasan menyebabkan kadang kala kita tidak sedar duduk di hadapan komputer dalam satu tempoh yang lama.

Ramai yang tidak menyedari bahawa situasiā€ itu boleh memberi kesan negatif terhadap kesihatan kerana tidak mengamalkan ergonomik yang betul.

Pemilihan jenis kerusi yang tidak sesuai dan postur badan yang tidak betul boleh menyumbang kepada sakit belakang, lenguh pada leher dan bahu atau lebih serius mengalami 'slipped disc' (cakera teranjak).

Malah kajian yang dijalankan mendapati duduk terlalu lama boleh menyebabkan pelbagai penyakit lain seperti obesiti, darah tinggi, kencing manis, kolestrol tinggi dan kurang pengaliran darah ke otak.

Ramai yang terlepas pandang bahawa pekerja wanita antara yang berisiko tinggi berdepan masalah ini kerana saiz dan jenis kerusi yang biasa digunakan tidak sesuai dengan badan.

Nampak seperti remeh, namun kesannya amat besar sehingga perlu menjalani pembedahan berikutan masalah ini boleh mengganggu fokus dan prestasi kerja.

POSTUR duduk dan kerusi tidak sesuai boleh menyebabkan masalah kesihatan.
POSTUR duduk dan kerusi tidak sesuai boleh menyebabkan masalah kesihatan.

Presiden Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH), Dr Shawaludin Husin berkata, ramai dalam kalangan pekerja dan majikan kurang menitik beratkan perkara ini.

Berdasarkan pengalamannya yang terbabit dalam bidang ini, dianggarkan hanya 20 hingga 30 peratus pekerja mempunyai kesedaran kepentingan ergonomik.

"Ramai yang beranggapan dengan hanya duduk, mereka tidak terdedah kepada bahaya kesihatan berbanding pekerjaan membabitkan fizikal.

"Namun perlu diketahui cara duduk yang tidak betul dan penggunaan kerusi yang tidak sesuai dalam tempoh lama boleh menyebabkan kesakitan di bahagian belakang badan seperti pinggul, pinggang, leher, bahu dan belikat.

"Ia boleh menjadi lebih serius apabila mengalami 'slipped disc' yang boleh mengganggu fokus dan produktiviti kerja," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

PEMIJAK kaki khas dapat membantu postur duduk yang lebih baik.
PEMIJAK kaki khas dapat membantu postur duduk yang lebih baik.

Menurutnya, kebiasaannya mereka yang mempunyai skop tugas seperti membuat akaun, kertas kerja, operator telefon, streamer dan pempengaruh antara yang terdedah dengan risiko masalah ini.

"Biasanya pekerjaan ini menuntut mereka untuk duduk lebih lama di hadapan komputer sehingga memberi kesan terhadap kesihatan tanpa disedari," katanya.

Dr Shawaludin berkata, terdapat beberapa keadaan yang menyebabkan duduk boleh memberi kesan kepada kesihatan.

"Ia berpunca daripada beban statik yang berlaku apabila seseorang itu duduk dalam keadaan pegun untuk masa lama iaitu.

"Keadaan ini menyebabkan beban badan terpaksa ditampung tulang belakang, pinggul dan pinggang sehingga menyebabkan ketidakselesaan," katanya.

PARAS skrin komputer turut menjadi punca sakit belakang.
PARAS skrin komputer turut menjadi punca sakit belakang.

Bagi wanita, biasanya masalah ini timbul berikutan penggunaan kerusi yang tidak sesuai dengan saiz badannya atau lebih dikenali sebagai faktor antropometrik.

"Apabila kerusi yang digunakan lebih besar, pinggulnya tidak boleh sampai ke belakang untuk bersandar berikutan pelipat kaki tersangkut di hadapan.

"Keadaan ini menyebabkan terdapat ruang antara belakang badan dan sokongan lumbar kerusi. Kaki yang tergantung mengakibatkan bebananā€ lebih di belakang badan," katanya.

Selain itu, individu yang berbadan besar turut berisiko tinggi mengalami masalah kesihatan apabila duduk terlalu lama.

"Keadaan ini berlaku apabila beban statik menjadi tinggi disebabkan berat badan ditampung tulang belakang dalam tempoh yang lama.

LAKUKAN regangan selepas sejam duduk.
LAKUKAN regangan selepas sejam duduk.

"Tabiat gaya duduk dalam keadaan 'malas' atau tidak menjaga postur badan ketika duduk juga boleh mendorong kepada permasalahan ini," katanya.

Selain itu, individu yang tidak cergas dan mempunyai otot perut yang lemah, boleh menyebabkan tiada sokongan untuk tulang belakang.

"Kelenturan badan turut memainkan peranan penting supaya ia dapat menyerap tekanan dengan lebih baik sekali gus melindungi tulang belakang ketika duduk," katanya.

Bagi mencegah permasalahan ini, beliau menyarankan, seseorang itu menetapkan masa antara 45 minit sehingga sejam untuk bangun sementara daripada kerusi.

"Lakukan senaman regangan dan berjalan sebentar untuk kurangkan tekanan di belakang badan sebelum kembali menyambung tugasan," kataya.

DR Shawaludin
DR Shawaludin

Pada masa sama, penggunaan peralatan tambahan seperti pemijak kaki khas (footrest) dapat membantu menolak lutut tinggi sedikit dan badan ke belakang.

"Ini secara tidak langsung menolak pinggang dan pinggul ke tempat sandar kerusi sekali gus mengurangkan tekanan di belakang badan.

"Gunakan kerusi yang boleh diselaraskan sokongan lumbar dan mempunyai sokongan leher. Kemudian, laraskan skrin komputer ke paras mata untuk mengelakkan tunduk terlalu lama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Februari 2022 @ 6:30 AM