SUKARELAWAN sedang membersihkan sampah di tepi sungai.
SUKARELAWAN sedang membersihkan sampah di tepi sungai.
Suliati Asri


Sebagai persiapan menyambut kedatangan pengunjung ke lokasi tarikan alam semula jadi terkenal berikutan aktiviti rekreasi luar rumah sudah dibenarkan semula, MR DIY Group (M) Berhad (MR DIY) menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) menjalankan pembersihan secara besar-besaran di Sungai Kedondong, Selangor.

Program dengan kerjasama Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) itu Membabitkan 80 sukarelawan yang membersihkan sampah-sarap di sekitar kawasan terutama tepi sungai selain mencantikkan infrastruktur di kawasan rekreasi terbabit.

Sukarelawan juga terdiri daripada kakitangan Jabatan Perhutanan, Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor (JPS), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta masyarakat Orang Asli dari Kampung Songkok.

Selain membersih dan mencantikkan infrastruktur, MR D I Y turut memasang 13 papan tanda keselamatan dan infomasi kawasan rekreasi ini sebagai peringatan kepada pengunjung untuk menjaga kebersihan di kawasan Sungai Kedondong.

Pengerusi MR D I Y Group, Datuk Azlam Shah Alias berkata pihaknya ingin memainkan peranan dalam memastikan taman, sungai dan lokasi tarikan alam semula jadi dilindungi bagi memastikan masa depan yang mampan untuk semua rakyat Malaysia.

Bagaimanapun katanya, ia bermula dengan mendidik pengunjung untuk menjaga keindahan kawasan terbabit dan meninggalkan impak sekecil yang mungkin.

"CSR ini adalah salah satu daripada beberapa inisiatif yang kami rancang memandangkan cuti sekolah hujung tahun dan musim perayaan bakal tiba tidak lama lagi.

"Kami berterima kasih kepada MPHS kerana sudi bekerjasama menganjurkan aktiviti pembersihan ini dan kepada sukarelawan yang menyumbangkan tenaga. Ternyata dengan kerjasama semua pihak, kerja kita menjadi lebih mudah," katanya.

Di samping itu, MR D I Y juga baru-baru ini memperkenalkan beg guna semula di cawangan-cawangannya.

AZLAM (dua dari kanan) berbual  Mohd Hasry (tiga dari kiri) pada Program CSR Mr.DIY Membersihkan Sungai Kedondong bersama MPHS, di Batang Kali.
AZLAM (dua dari kanan) berbual Mohd Hasry (tiga dari kiri) pada Program CSR Mr.DIY Membersihkan Sungai Kedondong bersama MPHS, di Batang Kali.

Azlam berkata, dalam hanya tiga bulan iaitu dari Julai hingga September, kira-kira 120,000 beg guna semula dibeli pelanggan di cawangan-cawangan MR D I Y.

"Ini membuktikan bahawa orang ramai menyokong pendekatan yang lebih mampan dalam kehidupan mereka dan kami akan terus menyediakan lebih banyak peluang untuk mereka berbuat demikian," katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) Mohd Hasry Nor Mohd A. M. S berkata, MPHS berbesar hati dan menyambut baik kerjasama serta sokongan yang diberikan MR D I Y.

Memandangkan aktiviti pelancongan sudah dibuka semula, Mohd Hasry berkata, lokasi-lokasi tarikan alam semula jadi di Hulu Selangor termasuk Sungai Kedondong menjadi tumpuan pengunjung pada hujung minggu.

"Bagaimanapun, ini turut membawa kepada masalah seperti pembuangan sampah merata-rata yang menyebabkan ketidakselesaan kepada pengunjung lain.

"Menerusi program CSR dan atas usaha sukarelawan yang terbabit, kami berjaya membersihkan semula Sungai Kedondong. Dalam jangka panjang, kami berharap supaya orang ramai akan memainkan peranan untuk turut serta menjaga kebersihan di Sungai Kedondong supaya usaha sukarelawan ini tidak sia-sia," katanya.

Mohd Hasry berkata, MPHS komited untuk menjadikan Hulu Selangor bandar rendah karbon menjelang 2030 dengan melaksanakan amalan-amalan kelestarian.

Oleh itu, katanya isu kebersihan perlu ditangani segera dan semua pihak perlu memainkan peranan.

"Bagi memastikan kawasan tumpuan di Hulu Selangor ini sentiasa bersih, kami akan sentiasa mempertingkatkan penyelenggaraan sampah selain menaik taraf infrastruktur yang ada.

"Selain itu, kami juga sedang melaksanakan Kempen Bawa Balik Sampah Anda dan ia sudah dikuatkuasakan di Alor Lempah, Kuala Kubu Bharu. Jadi, daripada 13 papan tanda, akan ada papan tanda mengenai kempen ini dinaikkan di sini," katanya.

"MPHS berharap supaya kerjasama dengan badan korporat seperti ini boleh diteruskan dan diperluas di masa hadapan, selari dengan arah tuju MPHS iaitu urbanisasi untuk semua," tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 November 2021 @ 6:35 AM