JANGAN menjadi golongan yang gemar bertanyakan soal jodoh orang lain. - FOTO Google
JANGAN menjadi golongan yang gemar bertanyakan soal jodoh orang lain. - FOTO Google
Hafiz Ithnin


"Aku penat apabila orang tanya bila nak kahwin? Agaknya jodoh itu di tangan manusia," luah rakan penulis bersulam kecewa yang masih bujang berusia pertengahan 30-an.

Situasi itu mungkin berlaku dalam kalangan mereka yang masih bujang dan usia pula semakin bertambah. Adakah anda salah seorang daripadanya?

Ahli Daftar Kaunseling Profesional United Kingdom dan Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Airil Haimi Mohd Adnan berkata, dalam sejarah peradaban manusia, orang Asia tidak ada soalan yang sensitif lagi menakutkan berbanding soalan, 'Bila nak kahwin?'

"Khabarnya juga kaum hawa begitu terkesan dengan soalan ini hingga mereka sanggup 'jatuh' pengsan jika ditanya.

"Mungkin ada benarnya pernyataan di atas, terutama sekali kalau kita mampu menyelami keadaan hidup wanita Asia Tenggara dalam kelompok masyarakat kita," katanya.

Tambahnya, hidup yang makin dikejar usia mengurangkan 'nilai pasaran' dan tiap tahun meningkat boleh menambah pula 'susut nilai' berbanding insan yang lebih muda.

"Namun begitu, melangkah 'melepasi' gerbang perkahwinan bukan suatu pengalaman yang boleh diambil mudah lebih-lebih lagi cabaran dan dugaan kehidupan kontemporari.

"Rumah tangga yang baharu dibina beberapa minggu atau beberapa bulan pun, hari ini boleh runtuh dan musnah dalam sekelip mata," katanya.

Tambahnya, dengan tekanan dan masalah yang dibawa pandemik global Covid-19 pula, laporan Statistik Perkahwinan dan Perceraian pada 2020 oleh Jabatan Perangkaan Negara Malaysia menunjukkan trend yang merisaukan.

IBU serta ayah  perlu memahami keadaan anak-anak. - FOTO Google
IBU serta ayah perlu memahami keadaan anak-anak. - FOTO Google

"Paling jelas, sejak tahun-tahun kebelakangan ini bilangan rakyat Malaysia yang berkahwin menurun manakala jumlah yang bercerai pula agak meningkat.

"Rata-rata pasangan yang bersedia untuk berkahwin memilih untuk menunggu lama sebelum mereka melangkah ke gerbang perkahwinan," katanya.

Jelasnya, alasan utama mereka, tidak lain tidak bukan keadaan ekonomi yang kurang stabil. Ia ditambah dengan kenaikan kos sara hidup terutama sekali di kawasan bandar.

"Masalahnya, proses urbanisasi di Malaysia kini sudah hampir ke kadar 80 peratus. Kestabilan ekonomi bukan hal yang remeh.

"Selepas berkahwin, hal ini boleh menjadi salah satu punca utama pasangan suami isteri bertegang urat hingga mungkin membawa kepada penceraian kelak," katanya.

Akhirnya, hakikat ini menjadikan lebih ramai orang bujang risau dan takut untuk berkahwin serta mempunyai keluarga sendiri.

"Perkara yang menjadi persoalan adalah berapa lamakah perlu ditunggu sebelum sepasang kekasih benar-benar bersedia untuk menjadi suami isteri?

"Adakah perlu ditunggu sehingga bakal suami sudah membeli rumah atau bakal isteri sudah bergaji besar? Berapa tahunkah patut ditunggu? Mari kita semua zip mulut kita kerana isu-isu itu wajar kita serahkan kepada pasangan berkenaan," katanya.

Katanya, pada masa sama, sahabat rapat dan ahli keluarga terutama sekali ibu serta ayah mereka perlu memberi dorongan, sokongan selain nasihat positif supaya mereka tidak pula tertunggu-tunggu terlalu lama.

PERKAHWINAN menjadi idaman setiap individu. - FOTO Google
PERKAHWINAN menjadi idaman setiap individu. - FOTO Google

"Tidak ada formula mudah untuk menentukan bila sepasang kekasih patut berkahwin. Namun, mereka perlu selalu diingatkan bahawa setiap hari yang kita hidup adalah satu hari yang berkurang dari usia kita. Masa tidak akan pernah berhenti berjalan," katanya.

Dr Airil berkata, setiap pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga mesti memulakan perjalanan ke arah gerbang perkahwinan dengan angan-angan serta pelan tindakan yang konkrit. Jangan sampai nanti tiada siapa lagi akan bertanya berkenaan perkahwinan kepada mereka.

"Bila mahu kahwin atau bila lagi nak kahwin? Soalan seperti ini jangan kita anggap soalan 'mengena' atau menghina.

"Biasalah, orang akan sentiasa bertanya. Apabila sudah berkahwin pula orang akan bertanya, bila nak dapat anak?" katanya.

Nasihatnya, jawab dengan senyuman dengan hati yang terbuka dan bersabar, 'kami sedang pilih tarikh' atau 'perancangan sudah ada.'

"Lebih penting, jangan anda berkahwin semata-mata kerana ditekan oleh orang lain atau anda ingin berlumba dengan kawan sekolah atau rakan sekuliah di universiti dulu!

"Seperkara lagi, jangan terlalu dibuai rasa kasih dan sayang tanpa ikatan yang kukuh serta sah. Musim bercinta tanpa tanggungjawab memang seronok, tetapi ikatan perkahwinan membawa amanah yang anda pegang sampai mati," katanya.

Tambahnya, akhir sekali, kurangkan rasa 'merengsa' apabila ditanya, 'Bila lagi nak kahwin?' Yang akan berkahwin itu yang empunya badan dan bukan orang lain.

"Mungkin kita rasa orang ini menyibuk atau orang itu hendak mengata kita, tetapi kata-kata dan pertanyaan mereka tidak memberi makna yang besar atau kekal dalam hidup kita.

"Kalau kawan rapat, adik-beradik, ibu atau ayah yang bertanya pula, faham bahawa mereka bertanya kerana mengambil berat dan jauh sekali dari menyibuk atau menghina," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Oktober 2021 @ 7:00 AM