PERTANYAAN soal menambah atau memiliki cahaya mata sering antara menjadi bualan.
PERTANYAAN soal menambah atau memiliki cahaya mata sering antara menjadi bualan.
SUASANA menziarahi ketika perayaan bukan menjadi permulaan krisis.
SUASANA menziarahi ketika perayaan bukan menjadi permulaan krisis.
Hafiz Ithnin


TATKALA kita begitu teruja untuk pulang beraya ke kampung selepas dua tahun tidak dapat beraya bersama keluarga, mungkin ada juga yang merasakan 'rengsa' kerana perlu berdepan dengan pelbagai cabaran ketika musim perayaan.

Pastinya, soalan seperti bila mahu tambah anak lagi? Bila mahu berkahwin? Kamu merancang untuk dapat anak?, Sudah pasti menjadi soalan yang menyakitkan hati bagi sesetengah individu kerana dirasakan cukup sensitif.

Harus diingat, sudah dua tahun kita tidak berkumpul bersama-sama sanak saudara dan keluarga jauh pada Aidilfitri. Maka, tahun ini 'tembakan' soalan sensitif mungkin akan memberikan tekanan. Bagaimanakah caranya untuk berdepan dengan soalan-soalan itu?

Ahli Daftar Kaunseling Profesional United Kingdom dan Pensyarah Kanan U

niversiti Teknologi MARA (UiTM),

Dr Airil Haimi Mohd Adnan berkata, sebenarnya soalan-soalan sensitif ini bukanlah unik dalam kalangan masyarakat kita sahaja.

Tambahnya, orang barat pun menghadapi situasi yang sama, misalnya ketika perayaan Krismas. Jadi, jangan kita anggap semua ini kerana orang kita suka 'membawang' dan menyibuk perihal hidup orang lain.

"Situasi sosial ini pernah diselidiki Profesor Katherine Hertlein, pakar terapi famili di Universiti Nevada, Amerika Syarikat.

"Hertlein berpendapat, soalan-soalan seperti ini ditanya sekadar untuk mengesahkan nilai-nilai peribadi orang yang bertanya," kata Dr Airil.

Sebagai contoh, 'Mak Long' anda bertanya bila anda hendak berkahwin? Dia ada 12 orang menantu. Mak Lang yang bertanya bila anda akan ada anak? Dia pula ada 18 orang cucu.

ISU bila mahu berkahwin kadang-kala sensitif bagi sesentengah individu.
ISU bila mahu berkahwin kadang-kala sensitif bagi sesentengah individu.

"Yang pasti, dunia sudah berubah. Cara dan gaya hidup keluarga 50 tahun dahulu mungkin tidak sesuai dengan keadaan semasa yang amat mencabar pada hari ini.

"Dengan kos sara hidup yang semakin naik, perancangan memang perlu sama ada untuk berkahwin atau berkeluarga," katanya.

Jelasnya, Mak Long yang ada 12 menantu tadi harus tahu, hari ini kadar penceraian agak merisaukan. Maka, biarlah si empunya diri yang berusaha mencari calon suami atau isteri yang terbaik untuk dirinya, bukannya si Mak Long.

"Begitu juga dengan Mak Lang dengan 18 orang cucunya. Cucu-cucu itu bukanlah trofi yang boleh dijulang seperti trofi Piala Dunia. Tiada apa yang perlu dipersoalkan dengan rezeki zuriat kerana itu semua pemberian Allah.

"Seperkara lagi, apabila berdepan dengan soalan cepu emas Bilakah anda akan ada teman istimewa, akan bertunang atau bernikah?, Lazimnya soalan ini ditanya sekadar untuk memulakan perbualan berdasarkan pengamatan saintis sosial Dr Bella DePaulo di Universiti Harvard, Amerika Syarikat," kata Dr Airil

MENJAWAB soalan sensitif dengan sopan perlu dilakukan kerana ia mengambarkan peribadi diri.
MENJAWAB soalan sensitif dengan sopan perlu dilakukan kerana ia mengambarkan peribadi diri.

Dr Airil menyarankan jika anda ditanya soalan semacam ini usah panik, stres atau marah. Jawablah dengan bersahaja seperti mana soalan yang ditanya.

"Kenapa harus dirosakkan mood Syawal anda?," tambahnya.

Paling utama, jaga tutur kata sendiri kalau kita ditembak dengan soalan-soalan yang sensitif dan terlampau peribadi.

"Tidak ada manfaatnya kalau kita pula yang dilihat sebagai orang yang 'jahat mulut' atau 'kurang ajar' apabila kita melenting.

"Maka, jika ditanya Bilakah anda akan bernikah? Jawablah, belum sampai jodoh. Bila ditanya kenapa lambat sangat menunggu? Jawablah, perancangan sedang diusahakan. Kalau ditanya bila tarikhnya pula? Jawablah, dalam masa terdekat kelak," katanya.

Katanya, sama juga kalau ditanya mengenai cahaya mata. Jawablah, semuanya rezeki daripada Allah, mohon doa untuk kami.

"Cara seperti ini sebenarnya amat efektif untuk memberi jawapan yang menunjukkan rasa hormat anda sambil menjaga air muka orang yang bertanya.

"Eh, kenapa saya pula yang kena jaga air muka orang yang bertanya soalan sensitif dan peribadi itu? Jawapannya mudah, kerana anda sorang insan yang terhormat. Kenapa harus kita melenting dan menjawab dengan biadab seperti yang kita selalu tengok di kaca televisyen?," katanya.

Dr Airil berkata, untuk Aidilfitri yang bakal menjelang ini, berikan sepenuh tumpuan untuk menikmati suasana Syawal dan bergembira dengan ahli keluarga rapat serta berjumpa sanak-saudara jauh.

ISU bila mahu berkahwin kadang-kala sensitif bagi sesentengah individu.
ISU bila mahu berkahwin kadang-kala sensitif bagi sesentengah individu.

"Soalan-soalan sensitif pada Aidilfitri sekadar asam garam yang tidak boleh mencederakan tubuh kita.

Perlu disedari, sehebat mana pun diri kita, kita tetap perlukan sistem sokongan keluarga.

"Posisi keluarga adalah di tempat pertama dan yang paling utama, walaupun mungkin diri kita dan keluarga kita sendiri jauh dari sempurna," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 April 2022 @ 7:00 AM