KOLEKSI menarik hasil kolaborasi Levi’s dan FARM Rio.
KOLEKSI menarik hasil kolaborasi Levi’s dan FARM Rio.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


LEVI'S bergabung idea dan kreativiti bersama jenama terkenal Brazil, FARM Rio bagi menghasilkan koleksi menarik untuk musim ini.

Jenama berusia 23 tahun dari Rio de Janeiro itu adalah pakar dalam rekaan berteraskan cetakan dan kepelbagaian corak serta menggunakan alam sekitar sebagai sumber utama inspirasi.

Untuk kolaborasi kali ini, keseluruhan koleksi adalah berdasarkan gerakan budaya selain turut diinspirasikan daripada warna dan bentuk yang dipersembahkan alam.

Setiap emosi, perincian dan kualiti yang tercipta daripada rangkuman semua elemen itu diketengahkan dengan menarik pada rekaan koleksi berkenaan.

Sebanyak 10 helaian ikonik yang sarat dengan imej feminin ditampilkan dalam rekaan jaket 'Trucker', celana jean 'Ribcage', kemeja-T, seluar pendek denim, jumpsut dan helaian ringan.

KOLEKSI diinspirasikan daripada warna serta bentuk yang dipersembahkan oleh alam.
KOLEKSI diinspirasikan daripada warna serta bentuk yang dipersembahkan oleh alam.

Apa yang istimewa, setiap rekaan koleksi itu turut menampilkan cetakan tropika dan ikon Brazil eksklusif seperti burung toucan, jaguar, katak pokok serta burung kakaktua.

Kolaborasi menarik itu membuatkan masyarakat lebih menghargai keindahan dunia hari ini selain mengingatkan orang ramai mengenai kepentingan kelestarian masa depan.

Jenama berkenaan turut menyerlahkan gaya hidup Brazil dan Carioca yang menonjolkan elemen tropika, warna, kegembiraan dan getaran alam.

Selain itu, gaya denim turut diberi sentuhan tersendiri. Koleksi berkenaan boleh didapati secara eksklusif di Malaysia.

Ia didatangkan dalam dua rangkaian, pertama pada 15 Oktober lalu sementara yang kedua pada 1 Disember ini.

REKAAN jaket menarik.
REKAAN jaket menarik.

Sementara itu, dua jenama berkenaan juga tidak ketinggalan bekerjasama dengan dua organisasi bukan kerajaan, SOS Mata Atlantica dan One Tree Planted bagi menanam 14,000 pokok yang membantu memelihara serta memulihara dua hutan utama di Brazil.

Inisiatif itu diadakan bagi membantu meningkatkan lagi kesedaran mengenai kepentingan ke arah masa depan yang lebih lestari.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 November 2020 @ 7:00 AM