SITI Fauziah sekeluarga sedondon bergaya dengan busana merdeka ilham daripada sut peralatan pelindung diri dipakai petugas barisan hadapan.
SITI Fauziah sekeluarga sedondon bergaya dengan busana merdeka ilham daripada sut peralatan pelindung diri dipakai petugas barisan hadapan.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


TARIKH keramat 31 Ogos sememangnya memberi makna tersendiri kepada rakyat Malaysia.

Biarpun kali ini negara berdepan pelbagai kekangan lantaran penularan pandemik Covid-19 namun detik bersejarah, Hari Kebangsaan tetap disambut dengan penuh bermakna.

Situasi semasa norma baharu tidak mematahkan semangat rakyat untuk tampil kreatif dalam melahirkan rasa kecintaan kepada negara.

Bagi pemilik Geehan Collection, Siti Fauziah Masnan, 33, dia sekeluarga meraikan sambutan Hari Kebangsaan kali ini dengan berpakaian sedondon ala bendera Malaysia.

Kata Siti Fauziah, suaminya, Haniffa Jhonasrol, 34 serta empat anak mereka iaitu Hafiy Altamis, 9, Haifa Nurjehan dan Haura Nurjehan, 6, serta Haniyya Nurjehan, 2, masing-masing turut teruja berpakaian sedondon untuk meraikan sambutan hari bersejarah itu.

"Pakaian yang kami sekeluarga gayakan ini saya reka khas sempena Hari Kebangsaan ke-63 dan ia bukan diperbuat daripada bendera negara sebaliknya kain kapas berwarna (mengikut warna bendera) yang dipotong dan dijahit secara berasingan.

"Sesuai dengan tema rekaan iaitu Merdeka Covid, ia diilhamkan daripada sut peralatan pelindung diri (PPE) yang dipakai petugas barisan hadapan ketika merawat pesakit Covid-19.

"Ia secara tidak langsung menunjukkan penghargaan yang tidak terhingga kepada petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus menjaga negara sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Mengulas lanjut mengenai rekaan berkenaan, Siti Fauziah yang juga pereka fesyen dan tukang jahit berkata, dia menyiapkannya semua pakaian itu dalam masa dua hari sahaja.

Katanya, apa yang istimewa mengenai rekaan berkenaan apabila ia turut dihiasi dengan tenunan logo tema sambutan Hari Kebangsaan.

"Logo tema Malaysia Prihatin ditenun pada bahagian depan baju bagi menggambarkan betapa bersemangatnya kami sekeluarga dalam meraikan hari bersejarah negara.

"Ia bukan tenunan biasa sebaliknya memerlukan 30,000 jarum menggunakan mesin sulaman digital dan mengambil masa untuk disiapkan sepenuhnya.

"Bagi saya, apalah sangat rekaan pakaian itu jika hendak dibandingkan dengan perasaan bersyukur dan bertuahnya dilahirkan di bumi Malaysia ini," katanya.

Siti Fauziah berkata, pada tahun sebelum ini, dia tidak menang tangan menyiapkan ratusan tempahan busana kemerdekaan daripada pihak swasta mahu pun individu persendirian.

Namun, kali ini anak jati Kota Tinggi, Johor itu reda tempahan berkurangan lantaran penularan Covid-19.

Katanya, tempahan individu bagaimanapun masih ada kerana ramai yang mahu bergaya pada hari bersejarah itu selain pada Hari Malaysia pada 16 September ini.

"Antara pakaian merdeka eksklusif rekaan Geehan Collection adalah gaun kanak-kanak, gaun kembang, gaun labuh, baju Melayu, baju korporat, kurung moden serta aksesori seperti tanjak.

"Alhamdulillah, setakat ini pelanggan berpuas hati dengan rekaan dihasilkan," katanya.

Menurut Siti Fauziah, dia mula menjahit pakaian sejak di bangku sekolah.

Kata Siti Fauziah, meskipun ibunya bukan tukang jahit namun memiliki kemahiran menjahit pakaian dan ilmu itu diperturunkan kepadanya.

Selain mempunyai belasan tahun pengalaman menjahit, Siti Fauziah juga memiliki diploma fesyen dari institusi pengajian tinggi tempatan.

Semua itu sedikit sebanyak membantunya dalam menghasilkan rekaan dan idea yang sentiasa diminati pelanggan.

"Rekaan fesyen dan jahitan adalah minat saya, jadi setiap pakaian yang ditempah, dihasilkan disiapkan dengan teliti, sepenuh hati.

"Ini kerana kepuasan pelanggan sentiasa menjadi keutamaan Geehan Collection," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Ogos 2020 @ 7:00 AM