RASA lembap yang tidak selesa.
RASA lembap yang tidak selesa.
Nurul Husna Mahmud

TANDA keputihan iaitu rembesan berupa cecair likat daripada bahagian vagina yang berwarna putih kepada warna lain sering kali mengundang rasa kurang selesa dalam kalangan wanita kerana bimbang ia ada jangkitan bakteria.

Tetapi tahukah anda, perubahan atau tompokan putih yang ‘mencemari’ permukaan seluar dalam anda itu, hanyalah sebahagian kitaran normal bagi wanita.

Secara semula jadinya ia bahan kumuhan yang dirembes menerusi saluran vagina setiap hari.

Rembesan itu perlu kerana setidaknya ia menjadi penanda tahap kebersihan bahagian intim berkenaan.

Ciri tompokan cecair keputihan yang memiliki tekstur likat ini bersifat asid dan variasi warnanya putih hingga kekuningan merujuk kepada tahap pH tersendiri.

Secara umumnya vagina yang sihat akan menghasilkan pelepasan asid yang lebih tinggi, tetapi pH boleh berubah disebabkan oleh pelbagai faktor, termasuk kehidupan seks, hormon dan kitaran haid.

PENGGUNAAN alas seluar dalam membantu keselesaan.
PENGGUNAAN alas seluar dalam membantu keselesaan.

Menurut pakar perunding ginekologi City Fertility Melbourne Australia, Dr Alex Eskander perubahan warna tanda keputihan tidak semestinya memberi makna bahawa individu itu mengalami jangkitan.

Katanya, vagina mengandungi bakteria baik, seperti lactobacilli yang menjadikan vagina sihat dengan mengekalkan tahap keasidan yang optimum, seterusnya menghalang bakteria buruk daripada menyebabkan jangkitan.

“Penghasilan keputihan ini meningkat ketika ovulasi dan kehamilan disebabkan peningkatan mukus serviks.

“Sebaik ia terkena udara, keputihan itu akan menjadi kekuningan disebabkan adanya proses pengoksidaan.

“Setelah ia menyerap ke dalam fabrik seluar dalam, ia adalah sesuatu yang normal dan pada umumnya tidak perlu bimbang kerana ada agen semula jadi melindungi kesihatan organ intim anda,” katanya.

Saranan lain untuk penjagaan dan mengekalkan bahagian intim anda supaya kekal bersih dan selesa, selain mengelak komplikasi jangkitan menerusi penggunaan alas seluar dalam (pantyliners) bersesuaian.

Malah ada langkah penjagaan bahagian intim itu termasuklah menjadikan tabiat mencuci pakaian dalam wajar dilaksanakan setiap hari. Ia bagi mengelak bakteria terkumpul dan bermutasi bertukar kepada sesuatu yang berbahaya untuk kesihatan.

KEPUTIHAN meningkat apabila mengandung dan datangnya haid.
KEPUTIHAN meningkat apabila mengandung dan datangnya haid.

Sementara itu, Pakar Perubatan Kolej Doktor Obstetrik dan Ginekologi Diraja England, Dr Virginia Beckett pula menyifatkan saringan mengenai kualiti kebersihan membabitkan bahagian sulit itu menerusi ciri tompokan berkenaan boleh dilakukan.

“Jumlah rembesan keputihan daripada vagina berbeza-beza sepanjang kitaran haid wanita dan lebih kerap dan tinggi pada wanita hamil.

“Namun, pelepasan yang sihat tidak mempunyai bau atau warna yang kuat.

“Wanita mungkin merasakan kelembapan yang tidak menyenangkan dan jangan panik jika anda mempunyai sedikit bau,” katanya turut berkongsi wanita akan merembeskan keputihan sehingga empat milimeter setiap hari.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mac 2020 @ 6:30 AM