AKSI Shukor Farhan di Sukan Para Asean KL2017. FOTO Iqmal Haqim Rosman
AKSI Shukor Farhan di Sukan Para Asean KL2017. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Saiful Affendy Sapran

Berstatus Orang Kelainan Upaya (OKU) sering menjadikan seseorang itu bersifat pasif dan menyendiri sekali gus tidak mempunyai kekuatan untuk bangkit semula mengharungi cabaran hidup.

Namun, masih ramai juga golongan sebegitu yang mempunyai kekuatan diri untuk berdiri di atas kaki sendiri hinggakan kadangkala lebih berjaya daripada individu normal.

Salah seorang daripadanya adalah atlet berbasikal para negara, Shukor Farhan Suliman yang kehilangan sebelah kakinya kerana kemalangan pada 2011.

Bukan saja berjaya di trek hingga mampu menyumbang pingat emas untuk negara pada temasya Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur (KL2017), Farhan juga berjaya di luar gelanggang.

Pada usia 22 tahun, atlet kelahiran Muar, Johor itu sudah mempunyai perniagaan sendiri dengan membuka kedai gunting rambut di Jalan Peel, Kuala Lumpur yang dinamakan Genttouch Barbershop.

 MERAIH pingat emas dalam acara 3km Kejar Mengejar Individu (C1, C2, C3) Campuran di Sukan Para Asean KL2017.  FOTO Iqmal Haqim Rosman
MERAIH pingat emas dalam acara 3km Kejar Mengejar Individu (C1, C2, C3) Campuran di Sukan Para Asean KL2017. FOTO Iqmal Haqim Rosman

Menjadi rakan kongsi bersama pengasas kedai itu, Mohd Sahrin Saimin, Farhan mengakui perniagaannya itu boleh dikatakan berjaya kerana tidak putus menerima kunjungan pelanggan yang ingin memotong rambut.

Malah, Farhan serta rakan kongsinya juga akan melebarkan perniagaan mereka itu dengan bercadang membuka satu lagi cawangan kedai gunting rambut bulan depan.

“Sebagai atlet saya sering berdepan dengan risiko kepada kecederaan atau prestasi yang tidak menentu.

“Dengan membuka perniagaan seperti ini, sekurang-kurangnya saya mempunyai pelan B andai kata tidak mampu lagi menjadi seorang atlet berbasikal negara suatu masa nanti.

“Lagipun, saya dikelilingi rakan yang sudah berjaya dalam perniagaan gunting rambut dan atas faktor itu ia memberi keyakinan kepada saya untuk menjadi rakan kongsi kepada abang Sahrin,” katanya memulakan cerita.

FARHAN di kedai gunting miliknya. FOTO Owee Ah Chun
FARHAN di kedai gunting miliknya. FOTO Owee Ah Chun

Mengapa kedai gunting rambut? Bagi Farhan mudah kerana ia perniagaan yang hanya perlu mengeluarkan sekali saja modal yang tidak terlalu tinggi.

“Secara jujur saya memang tak pandai untuk menggunting rambut pelanggan. Saya bertindak sebagai rakan kongsi saja dan menguruskan keluar masuk duit.

“Saya mahu membuktikan walaupun berstatus OKU, saya mampu berdikari dan berjaya seperti orang normal.

“Saya tak mahu terlalu bergantung kepada ibu bapa. Biarlah segala-galanya atas usaha saya sendiri,” katanya.

Satu perkara yang menarik mengenai kedai gunting rambutnya itu, ia menawarkan pakej istimewa kepada golongan OKU.

FARHAN memerhatikan pekerja menggunting rambut pelanggan.   FOTO Owee Ah Chun
FARHAN memerhatikan pekerja menggunting rambut pelanggan. FOTO Owee Ah Chun

“Kami tak tetapkan bayaran sebaliknya menerima seikhlas mungkin bayaran daripada golongan OKU. Kalau mereka mampu bayar penuh, bayarlah.

“Kalau tak mampu, bayar setakat mana yang mampu. Ini konsep yang kami mahukan,” kata Farhan.

Genttouch Barbershop dibuka setiap hari bermula jam 4.30 petang hingga 2 pagi. Maklumat lanjut boleh layari laman sosial Instagram Genttouchbarbering .

SEBAHAGIAN pekerja Genttouch Barbershop. FOTO Owee Ah Chun
SEBAHAGIAN pekerja Genttouch Barbershop. FOTO Owee Ah Chun

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 January 2018 @ 3:38 AM