DAPATKAN pendapat ejen hartanah berkenaan senarai pemaju yang boleh dipercayai.
DAPATKAN pendapat ejen hartanah berkenaan senarai pemaju yang boleh dipercayai.

SEBUT sahaja projek perumahan tertangguh atau terbengkalai, pasti ia menjadi mimpi ngeri buat mana-mana pembeli rumah.

Tiada siapa yang mahu membeli rumah yang akhirnya memberikan bebanan hutang.

Menurut iProperty, terdapat beberapa langkah boleh dilakukan bakal pembeli bagi mengelakkan berurusan dengan pemaju perumahan bermasalah hingga pembinaan tertangguh atau terbengkalai.

Mengelakkan daripada memilih pemaju yang mempunyai rekod buruk atau disenarai hitam memudahkan urusan untuk membuat aduan sekiranya berlaku masalah pada masa akan datang.

Sekali gus dapat mengurangkan risiko projek rumah tertangguh dan terbengkalai.

Cara semak pemaju perumahan

1. Cari maklumat syarikat pemaju perumahan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)

Seperti yang diketahui, mana-mana syarikat yang menjalankan perniagaan di Malaysia perlu mendaftar di SSM.

Anda boleh membuat carian syarikat ini di laman web ssm-einfo ini. Jangan lupa untuk mendaftar akaun terlebih dahulu dan membuat bayaran bagi dokumen yang diperlukan.

Bagi memudahkan anda menggunakan portal laman web ini, anda boleh merujuk kepada panduan yang disediakan di sini.

Cuba bayangkan sekiranya syarikat pemaju perumahan yang anda pilih langsung tidak mempunyai rekod dan berdaftar.

Pastinya ia meragukan dan bukan syarikat yang meyakinkan untuk dipilih. Ketika melakukan carian, dapatkan maklumat seperti profil pemaju, sejarah projek, pencapaian, status kewangan dan sebagainya.

2. Buat carian di Internet mengenai syarikat pemaju perumahan.

Seterusnya, jangan lupa untuk membuat carian di Internet mengenai syarikat pemaju perumahan yang anda ingin pilih. Melalui Internet dan media sosial, ada beberapa maklumat yang boleh diperoleh.

Menerusi media sosial dan forum juga, anda akan mendapatkan banyak maklumat daripada pengalaman sebenar pembeli rumah.

3. Semak pemaju perumahan yang bermasalah di portal rasmi Jabatan Perumahan Negara

Selain itu, untuk lebih kepastian mengenai prestasi dan rekod pemaju perumahan ini, anda boleh menghubungi pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi menyiasat mengenai latar belakang syarikat ini.

Anda boleh bertanya mengenai projek yang pernah dijalankan pemaju perumahan ini dan adakah ada projek terbengkalai di dalam rekod pemaju perumahan ini. Bukan itu sahaja, pihak KPKT juga sering mengemas kini senarai pemaju perumahan yang bermasalah di laman web mereka.

4. Semak sama ada pemaju perumahan mempunyai lesen atau tidak

Setiap pemaju wajib mempunyai lesen pemaju perumahan di bawah Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan).

Bagaimanapun, ada pemaju yang menjalankan projek tanpa lesen iaitu projek perumahan yang dimajukan tanpa lesen daripada Jabatan Perumahan Negara.

Cara menyemak pemaju perumahan mempunyai lesen atau tidak

Bagi setiap iklan dan brosur iklan, perhatikan dan cari nombor lesen dan permit atau juga dikenali sebagai APDL. APDL adalah singkatan perkataan bagi Advertising Permit and Developer License, atau Lesen Permit Pengiklanan Pembangunan.

Pihak pemaju wajib mempamerkan nombor lesen ini di setiap iklan yang dikeluarkan dan juga pada papan projek.

Anda boleh membuat semakan dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang mempunyai data dan nombor lesen pemaju perumahan di dalam sistem OSC3+

5. Adakah iklan perumahan yang dipamerkan pemaju mematuhi undang-undang yang ditetapkan

Bagi sebarang iklan perumahan, ia mempunyai garis panduan dan tertakluk di bawah kelulusan Permit Iklan dan Jualan yang mewajibkan pemaju mematuhi Peraturan 6 Peraturan-Peraturan Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1989.

Manakala, sebarang iklan yang berkaitan dengan pihak setempat ia akan diselia PBT di bawah Jabatan Kerajaan Tempatan KPKT dalam Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Mengikut garis panduan yang ditetapkan KPKT, semua iklan dalam apa jua bentuk akan tertakluk kepada garis panduan ini. Ia juga termasuk pengiklanan yang dilakukan secara dalam talian.

6. Buat tinjauan di kawasan projek perumahan yang sudah disiapkan

Anda perlu membuat tinjauan hasil projek yang disiapkan di kawasan projek perumahan.

Jika anda ingin tahu dengan lebih tepat, cuba dapatkan maklum balas pembeli rumah dan pengalaman mereka mengenai kualiti binaan yang dibuat.

Anda boleh bertanya masalah yang mungkin timbul selepas menetap di rumah yang dibeli. Tanya juga kepada pembeli bagaimana pihak pemaju memberi maklum balas sekiranya mereka membuat aduan membaiki rumah yang masih berada dalam Tempoh Liabiliti Kecacatan (DLP) atau jaminan.

Adakah pihak pemaju perumahan membuat kerja sambil lewa atau melengah-lengahkan proses atau mereka melayan aduan pembeli dengan baik? Semua perkara ini penting bagi menilai kredibiliti dan kesungguhan pihak pemaju perumahan itu memberikan yang terbaik untuk pembeli mereka.

7. Tanya pendapat ejen hartanah

Seterusnya, anda juga boleh mendapatkan pendapat ejen hartanah sekitar kawasan rumah yang ingin dibeli mengenai senarai pemaju yang boleh dipercayai dan juga reputasi yang baik.

Hal ini kerana kebiasaannya ejen hartanah ini mempunyai pengetahuan mengenai harga pasaran, kualiti binaan rumah dan juga mengenai pemaju-pemaju perumahan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Februari 2024 @ 6:30 AM