BANDAR Porvoo di Finland.
BANDAR Porvoo di Finland.
Agensi

London: Finland menduduki tempat pertama dalam senarai negara paling bahagia di dunia untuk 2022, berdasarkan penarafan Laporan Kebahagiaan Dunia.

Ia adalah penerbitan di bawah Jaringan Penyelesaian Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Penarafan itu hasil penilaian kehidupan menerusi data tinjauan pendapat global membabitkan 146 negara oleh Gallup World.

Ia sekali gus menyaksikan Finland memegang gelaran itu untuk lima kali berturut-turut.

CNN melaporkan Denmark berada di tangga kedua diikuti Iceland (tempat ketiga) dan Switzerland di kedudukan keempat.

Belanda, Luxembourg, Sweden dan Norway masing-masing berada pada tempat kelima, keenam, ketujuh dan kelapan dalam senarai berkenaan.

"Israel dan New Zealand pula menduduki tangga kesembilan dan ke-10 dalam senarai itu tahun ini," kata laporan itu yang melengkapkan 10 teratas negara paling bahagia.

Kanada (ke-15), Amerika Syarikat (ke-16) dan United Kingdom (ke-17) pula termasuk dalam senarai 20 tempat teratas.

Dua negara kejiranan yang sedang berperang, Ukraine dan Rusia jatuh ke separuh terbawah ranking dunia untuk laporan 2022 dengan Ukraine di kedudukan ke-98 dan Rusia di tangga ke-80.

Laporan itu antara lain dinilai berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita, jangka hayat, kemurahan hati, sokongan sosial, kebebasan serta kes rasuah.

Afghanistan berada di kedudukan paling bawah di tangga ke-146 dalam laporan 2022 disifatkan seorang pengarang berita, Jan-Emmanuel De Neve sebagai satu peringatan jelas tentang kerosakan material dan bukan material akibat peperangan.

Berdasarkan laporan berkenaan, kehilangan nyawa, kemusnahan dan ketidakpastian semakin meningkat menyebabkan dunia semakin terancam.

Namun, laporan sama menyatakan kebajikan semakin meningkat di peringkat global.

Itu juga antara penemuan utama Laporan Kebahagiaan Dunia apabila terdapatnya peningkatan menderma kepada badan amal, membantu orang yang tidak dikenali dan menjadi sukarelawan di semua wilayah di dunia.

Purata global bagi tiga aspek kebajikan berkenaan melonjak kira-kira 25 peratus, pada 2021, berbanding tahap prapandemik.

Pandemik Covid-19 yang sudah berlanjutan lebih dua tahun turut mempengaruhi laporan itu.

"Kejutan besar ialah secara global, dalam cara yang tidak diselaraskan, terdapat peningkatan ketara dalam ketiga-tiga bentuk kebajikan yang ditanya ketika Tinjauan Dunia Gallup," kata John Helliwell, seorang daripada tiga pengasas pengasas laporan itu kepada CNN.

Helliwell, yang juga Profesor Emeritus di Sekolah Ekonomi Vancouver, Universiti British Columbia berkata ini terutama bantuan kepada orang yang tidak dikenali pada 2021 dengan jumlah yang sangat besar di semua wilayah di dunia, berbanding sebelum wabak atau 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mei 2022 @ 6:30 AM