KEADAAN banjir yang melanda Taman Satelite, Bahau.
KEADAAN banjir yang melanda Taman Satelite, Bahau.
Abnor Hamizam Abd Manap


“KAMI bukan hanya perlu menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) malah lebih memburukkan keadaan apabila rumah dialami ditenggelami banjir lumpur tengah malam tadi,” ujar Alwi Alias, 48.

Dalam kejadian bermula jam 8 malam kelmarin, berpuluh kediaman penduduk Rumah Rakyat Bahau di sini, dilanda banjir lumpur susulan hujan lebat yang berlaku.

“Awal tahun lalu, kebanyakan rumah penduduk dimasuki air, tapi tidak seteruk kejadian malam tadi (kelmarin),” katanya.

Menurutnya, sebanyak 80 rumah penduduk Rumah Rakyat Bahau terbabit dengan kejadian banjir kilat itu selain 10 kawasan perumahan dan kampung sekitar Bahau antaranya Taman Meranti, Taman Satelite, Taman ACBE, Taman Cempaka, Rumah Rakyat Jambu Lapan dan Kampung Indah di sini.

“Beberapa faktor dipercayai menyebabkan kejadian banjir itu antaranya ketidakpekaan pemaju perumahan.

“Banjir yang masuk ke dalam rumah berlumpur dan mengambil masa untuk dibersihkan. Saya harap kerajaan dapat buat sesuatu bagi mengatasi masalah ini, bagi mengelakkan penduduk terus menanggung kerugian,” katanya.

Seorang lagi mangsa, SG Suresh, 50, berkata, kejadian berlaku banjir lumpur berlaku dengan pantas dan ketika itu dia bersama lima ahli keluarga lain sedang berehat di ruang tamu.

“Tiba-tiba saya nampak air masuk melalui bawah pintu dengan laju menyebabkan saya dan ahli keluarga cuba menyelamatkan barang berharga.

“Tidak sampai 15 minit, air sudah hampir paras lutut sehingga merosakkan peralatan rumah selain sebuah motosikal,” katanya.

Suresh berkata, dia tidak menyangka hujan lebat sejak jam 8 malam itu menyebabkan kawasan perumahan berkenaan dilanda banjir kilat buat kali pertama.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jempol (MPJL) Raja Norazli Raja Nordin berkata, pihaknya akan memanggil lima pemaju projek perumahan berhampiran bagi mendapatkan penjelasan selain mengatasi masalah berkenaan.

“Selain itu kita juga percaya taburan hujan lebat malam tadi (kelmarin) melebihi kemampuan sistem perparitan sedia ada sehingga menyebabkan 11 taman dan kampung berhampiran Bahau dilanda banjir kilat,” katanya.

Sementara itu itu Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru Negeri Sembilan, Teo Kok Seong berkata, kerajaan negeri akan membantu penduduk yang ditimpa musibah sebaik semua urusan berkaitan diselesaikan.

”Kita belum mengetahui jumlah keseluruhan rumah yang terjejas akibat banjir ini sebab ia membabitkan banyak taman perumahan,” katanya ketika melawat lokasi kejadian semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mac 2020 @ 7:00 AM