Firdaus Hashim


SELEPAS dua kali ketinggalan skuad Harimau Malaya bangkit mencatat kemenangan menerusi jaringan Mohamadou Sumareh di penghujung aksi untuk menewaskan Indonesia, 3-2 dalam Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, malam ini.

Pada aksi pertama Kumpulan G, Malaysia memperolehi tiga mata berharga di gelanggang keramat tuan rumah Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.

Kelonggaran barisan pertahanan negara nyaris meragut peluang anak buah Tan Cheng Hoe yang mengidam untuk menamatkan kemarau 14 tahun tanpa kemenangan di Gelora Bung Karno yang kali terakhir dimenangi pada 2004.

Masalah persefahaman antara tonggak pertahanan ditambah dengan kepantasan jentera serangan skuad Garuda nyata gagal dihalang oleh pemain negara.

Dalam aksi itu, Cheng Hoe mengekalkan sebahagian besar tonggak ketika tewas kepada Jordan 0-1 dalam aksi pemanas di Bukit Jalil 30 Ogos lalu kecuali menyenaraikan Syafiq Ahmad dan menggantikan Muhammad Daniel Amier Norhisham.

AKSI penyokong Indonesia mula memasuki padang pada perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 antara Malaysia menentang Indonesia di Stadium Gelora Bung karno.
AKSI penyokong Indonesia mula memasuki padang pada perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 antara Malaysia menentang Indonesia di Stadium Gelora Bung karno.

Skuad negara yang kali terakhir 'menawan' Gelora Bung Karno pada 2004 menerusi kemenangan 2-1 dihukum seawal minit ke-12 apabila tolakan antara celah pemain menyaksikan Saddil Ramdani berjaya meloloskan diri sebelum mengumpan kepada tonggak naturalisasi dari Brazil, Alberto Goncalves di depan gawang pelawat.

Jaringan itu nyata menggamatkan Gelora Bung Karno dengan skuad kendalian Simon McMenemy terus meningkatkan tekanan untuk memburu gol tambahan.

Menyedari Hadin Azman gagal memainkan peranannya di sebelah sayap kiri negara, Cheng Hoe mengeluarkannya dan memasukkan Mohamadou Sumerah di minit ke-37.

Tidak sampai 15 saat di atas padang, Sumareh mengejutkan penyokong tuan rumah dengan gol penyamaan yang juga gol keempatnya di peringkat antarabangsa bersama Malaysia.

Bagaimanapun, dua minit kemudian tuan rumah kembali di depan sekali lagi menerusi Goncalves yang merembat cantik dari luar kotak penalti buat menewaskan ketua pasukan negara, Farizal Marlias.

Babak kedua menyaksikan Malaysia memperkemaskan aksi dan akhirnya berjaya menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-66 hasil hantaran tandukan penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT), Muhammad Syafiq Ahmad.

Aksi rancak kedua-dua pasukan bagaimanapun terpaksa dihentikan pada minit ke-69 apabila penyokong Indonesia mula menyerang tempat duduk penyokong Malaysia.

Selain balingan botol daripada penyokong tuan rumah, penyokong Garuda turut melempar suar.

Selepas situasi 'panas' itu berjaya ditenangkan pihak berkuasa Indonesia, perlawanan berkenaan diteruskan oleh pengadil dari Korea Selatan, Ko Hyungjin dengan pelawat menguasai baki 20 minit permainan.

Sumareh muncul wira Malaysia apabila penyerang Pahang itu berjaya memanfaatkan situasi kelam kabut di depan gawang tuan rumah di penghujung saingan sekali gus meraih tiga mata pada kempen kelayakan kali ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 September 2019 @ 10:47 PM
SUMAREH meraikan jaringan menentang Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno. FOTO Eizairi Shamsudin
SUMAREH meraikan jaringan menentang Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno. FOTO Eizairi Shamsudin