PISAU digunakan wanita untuk menikam suaminya dalam kejadian di bilik sewa di bangunan kedai di Bandar Cenderawasih, Sahabat 7, Lahad Datu, Jumaat lalu dirampas polis. FOTO ihsan polis.
PISAU digunakan wanita untuk menikam suaminya dalam kejadian di bilik sewa di bangunan kedai di Bandar Cenderawasih, Sahabat 7, Lahad Datu, Jumaat lalu dirampas polis. FOTO ihsan polis.
Hazsyah Abdul Rahman


TIDAK tahan dengan sikap suami sering mendera dan berlaku curang, seorang wanita menikam suaminya ketika tidur dalam kejadian di bilik sewa sebuah bangunan kedai di Bandar Cenderawasih, Sahabat 7, Lahad Datu, Jumaat lalu.

Dalam kejadian 7.20 pagi itu, mangsa, Rasalan Jaya, 32, parah di bahagian perut akibat selepas ditusuk pisau oleh suspek berusia 26 tahun.

Bagaimanapun, pada 5.05 pagi Sabtu lalu, mangsa dilaporkan meninggal dunia di Hospital Lahad Datu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, ketika kejadian mangsa sedang baring di bilik sewa mereka.

“Suspek mengambil pisau pemotong sayur di dapur dan menikam mangsa di sebelah kanan perut.

“Mangsa mencabut pisau dan lari menuju ke klinik berdekatan manakala suspek sempat membuang pisau itu keluar melalui tingkap,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nasri berkata, sebaik menerima maklumat berhubung kejadian itu, sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi dan berjaya menahan suspek.

Beliau berkata, suspek bersembunyi di dalam bilik dan ketika ditahan hanya mendiamkan diri sebelum dibawa ke Balai Polis Cenderawasih.

“Hasil siasatan lanjut mendapati, punca kejadian disebabkan mangsa selalu mendera suspek dan tidak memberikan nafkah kepada anak mereka.

“Pada masa sama, mangsa berlaku curang terhadap suspek sejak 2014, bagaimanapun suspek hanya membiarkan mangsa kerana bimbang rumah tangga mereka retak.

“Bagaimanapun, akibat tidak dapat mengawal emosi, suspek merancang menikam mangsa berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Katanya, selain menahan suspek, pihaknya turut merampas pisau sepanjang 25 sentimeter untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2019 @ 6:54 PM