Wartawan NSTP


DATUK Seri Najib Razak sekali lagi hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini, bagi pendengaran permohonan perintah larangan (gag order) bagi menghalang media daripada melaporkan berhubung merit kes pecah amanah dan menyalahgunakan kedudukan yang dihadapinya.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi membenarkan perintah larangan sementara berhubung perkara itu yang dikemukakan oleh bekas Perdana Menteri itu menerusi peguamnya, Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah.

Najib kini berdepan tujuh pertuduhan membabitkan menerima wang hasil aktiviti haram, pecah amanah dan salah guna kuasa.

Pada prosiding Rabu lalu, Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM42 juta ke dalam akaun miliknya.

Najib didakwa menerima wang itu mengikut Sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti Secara Elektronik Masa Nyata (RENTAS) ke dalam akaun miliknya di AmIslamic Bank

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Am Islamic Bank, Bangunan AmBank Group, No 55 Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur, antara 26 Disember 2014 dan 10 Februari 2015.

Bagi ketiga-tiga perbuatan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Pada 4 Julai lalu, Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi sama terhadap tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna kuasa membabitkan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Bagi semua pertuduhan itu, beliau dikenakan ikat jamin RM1 juta.

Semua kes akan dibicarakan serentak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Ogos 2018 @ 10:48 AM