NAJIB bersama Rosmah pada majlis memotong kek sempena ulang tahun kelahiran bekas Perdana Menteri di Bangunnan Parlimen, hari ini. FOTO Luqman Hakim Zubir
NAJIB bersama Rosmah pada majlis memotong kek sempena ulang tahun kelahiran bekas Perdana Menteri di Bangunnan Parlimen, hari ini. FOTO Luqman Hakim Zubir
Rizanizam Abdul Hamid


DATIN Seri Rosmah Mansor sempat berseloroh kepada tetamu pada majlis ringkas sambutan ulang tahun kelahiran suaminya ke-65 di lobi Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, hari ini.

“Terbakar pula muka laki (suami) aku,” katanya spontan selepas muka bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak nyaris terkena percikan lilin bunga api yang dinyalakan di atas kek.

Sebelum itu, Najib diminta menghidupkan lilin bunga api berkenaan sebelum satu daripadanya menyala menyebabkan bunga api tiba-tiba terpercik dan hampir menyambar mukanya.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pekan itu spontan mengelak disusuli dengan ketawa besar kerana kejadian yang mencuit hatinya.

Rosmah selepas itu sempat berpesan kepada petugas syarikat Metamorphosis Global Studio Sdn Bhd (Metamorphosis) yang menaja majlis berkenaan dan menghidupkan lilin terbabit supaya berhati- hati.

Dalam keadaan berseloroh, beliau sempat menggosok belakang badan lelaki terbabit sambil menasihatinya.

Turut dilihat pada majlis santai itu adalah Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) selain pelakon

Ellie Suriaty dan Johan As'ari.

Rosmah turut tidak melepaskan peluang menyuap sepotong kek kepada Najib selepas diminta pemberita berbuat demikian selain memberikan ucapan ringkas.

“Saya ucapkan yang terbaik untuk beliau dan juga untuk keluarga kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Julai 2018 @ 5:38 PM