Nurul Husna Mahmud


KISAH dongeng penuh keajaiban seperti karakter ikan duyung antara cereka pengembaraan yang menarik buat kanak-kanak.

Bayangan gadis berekor ikan berenang bebas di laut biru selain mengenakan perhiasan dalam laut seperti cangkerang dan pelbagai batu permata antara imaginasi tergambar dalam fikiran si kecil.

Tidak hairanlah, pada musim cuti sekolah kali ini Sunway Lagoon, Petaling Jaya, Selangor meraikan kehadiran pengunjung dengan program unik, Mermaid Alive!

Pengunjung bukan saja dapat mendekati mereka malah merasai sendiri menjadi sebahagian daripada haiwan legenda itu menerusi pelbagai acara menarik bermula esok hingga 31 Mac ini.

KUMPULAN lanun turut bersama dalam pengembaraan Mermaid Alive. FOTO Zunur Al Shafiq
KUMPULAN lanun turut bersama dalam pengembaraan Mermaid Alive. FOTO Zunur Al Shafiq

Menurut Pengurus Besar Sunway Lagoon, Sean Choo, biarpun ia dongeng dan banyak diceritakan dalam buku, inspirasi dibawa figura ini mempengaruhi trend semasa.

“Ketika ini ilham ‘duyung’ mempengaruhi pelbagai elemen dalam gaya hidup masa kini, daripada fesyen, dandanan, gaya rambut, makanan hingga hiasan.

“Melihat pengaruh cukup besar ‘mistik duyung’ hingga diterima dalam budaya semasa menyebabkan kami berasa perlunya untuk memasukkan elemen berkenaan dalam program sempena musim cuti sekolah ini,” katanya.

PERSEMBAHAN tarian turut diadakan. FOTO Zunur Al Shafiq
PERSEMBAHAN tarian turut diadakan. FOTO Zunur Al Shafiq

Aktiviti yang boleh disertai mereka termasuk sesi beramah mesra bersama ikon ikan duyung, solekan seperti karakter ikan duyung dan berenang bersama karakter itu.

Slot istimewa iaitu bersama Titan Scuba Asia pula eksklusif buat pengunjung berumur lima hingga 11 tahun untuk mempelajari teknik bernafas dalam air menggunakan peralatan skuba.

Selain aktiviti air, pengunjung juga berpeluang mencuba pelbagai program selingan iaitu golf mini, bola tampar pantai dan banyak lagi.

Tidak terkecuali, mereka turut dihiburkan dengan pelbagai karakter termasuklah Clown Walkabout Characters, Captain Quack & Lady Quack, SpongeBob & Patrick in Pirates overlay! , Teenage Mutant Ninja Turtles (TMNT), Dora the Explorer dan rakan baiknya, Boots.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2019 @ 11:53 AM