FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
DSP Dr. Mohd Roslan Mohd Tahir

Apa guna berjanji, kalau tak ditepati, kelak meracun hati, tuan sendiri, menggigit jari... Jangan main asmara, bukan mudah bercinta, yang ditunggu tak tiba, tidur tak lena, mandi tak basah."

Bait lagu Apa Guna Berjanji dendangan Puan Seri Saloma itu banyak makna tersirat. Menusuk dan mencengkam jiwa apabila mendengar lagu ini walaupun dimainkan dalam mutu audio lama dengan kurang menyengat, ia tetap membakar jiwa.

Malah, apabila kita menyebut mungkir janji atau bahasa sedikit kasar 'janji dicapati', terpancar di kepala dan benak fikiran kawan yang berjanji mahu keluar bersama atau melepak di restoran mamak, tetapi tidak datang terus atau hadir setelah berjam-jam menunggunya dengan alasan yang sukar diterima akal.

Tetapi, itulah manusia dan sudah menjadi amalan mungkir janji selalu terjadi dalam segi mana pun baik perhubungan, persaudaraan atau dalam organisasi dan jabatan itu sendiri. Dalam suasana kerja, situasi sama turut berlaku apabila majikan atau ketua berjanji untuk pemberian bonus tahunan atau kenaikan pangkat, seterusnya diam seribu bahasa sedangkan bertahun-tahun kita menunggu.

Keadaan hampir sama bila ahli politik atau wakil rakyat berjanji untuk pemberian atau hadiah tertentu, tapi kelibat batang hidung pun susah jumpa selepas selesai pilihan raya. Dalam hidup, orang yang selayaknya paling dihormati adalah diri sendiri.

Tiada sebab untuk marah jika diri tidak dihormati oleh orang lain, andai kita tidak menghormati diri sendiri.

Cara untuk menghormati diri sendiri adalah dengan menepati janji dimeterai oleh diri kepada diri sendiri. Janji ini dikategorikan sebagai self talk. Menurut kajian, orang yang berjaya dalam hidup ialah orang yang punya harga diri yang tinggi.

Antara tanda seseorang memiliki harga diri tinggi adalah dengan menghormati diri sendiri.

Sama ada sedar atau tidak, pelbagai janji ditabur pada diri, contohnya untuk berbuat baik dan meninggalkan apa yang tidak baik seperti saranan agama, tidak mengumpat, tiada hasad dan sebagainya. Maka janji itu adalah percakapan diri kepada diri sendiri.

Menurut ahli psikologi, dalam sehari kita lebih banyak bercakap dengan diri sendiri berbanding dengan orang lain. Ini dikenali sebagai suara hati. Janji pada diri sendiri dan janji dengan orang lain pun sama, seandainya tidak ditepati atau ditunaikan akan jatuh harga diri seseorang dan lebih buruk lagi individu itu akan dilabel dan tidak boleh dipercayai selamanya.

Beberapa kesan mungkir janji mungkin akan terjadi pada diri kita atau individu yang mungkir janji agak besar.

Kesan daripada mungkir janji. Analoginya, andai janji dimungkiri berkali-kali, ia bakal membawa implikasi untuk tidak dipercayai sama sekali. Jika kerap berjanji pada diri dimungkiri, kepercayaan akan hilang dan secara tidak langsung harga diri akan luntur. Justeru, penulis berpesan, 'usah bimbang jika diri tidak dihargai, tetapi bimbanglah jika diri benar-benar tidak berharga.'

Kesan daripada memungkiri janji pada diri sendiri, seseorang akan hilang semangat untuk hidup. Ia akan mengakibatkan murung, hilang keyakinan diri dan mudah kecewa. Secara langsung hilang jiwa berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan. Lebih daripada itu, diri umpama bangkai bernyawa. Terasa letih tanpa punca.

Dijelaskan bahawa letih kerana tidak melakukan kerja lebih letih daripada letih membuat kerja.

Hidup umpama sampah yang dibawa arus akibat tidak menunaikan janji pada diri sendiri.

Akibatnya, individu itu sukar untuk mengawal diri. Dirinya hanya dibiar dicorak oleh suasana bak kata pepatah 'untung sabut timbul, untung batu tenggelam.' Saat ini keyakinan diri atau self esteem akan jatuh sejatuh-jatuhnya, self talk sudah tidak bermakna.

Beberapa kaedah jalan penyelesaian daripada kemelut yang melanda akibat mungkir janji itu boleh perlahan-lahan dilaksana andai kata kita bertekad atau berniat hendak berubah.

Tetapi, andai masih hanyut dan leka, bolehlah kawan-kawan atau siapa yang menyedari adanya kawan sebegitu memberi nasihat atau jentik telinganya.

Penyelesaiannya ialah menerusi formula kembali pada Ilahi. Ketika janji dibuat, berusaha menunaikan janji pada Ilahi terlebih dahulu bagi memperoleh kekuatan untuk melunaskan janji kepada diri sendiri.

Kegagalan menunaikan janji ada kalanya disebabkan janji yang cuba dipenuhi itu tidak bersifat realistik. Janji memerlukan azam yang tidak terlalu tinggi atau terlalu rendah.

Contohnya, jika mahu melakukan solat lima waktu pada awal waktu, boleh dimulakan dengan solat Isyak berjemaah.

Kemudian ditingkatkan kepada solat Subuh berjemaah dan akhirnya solat lima waktu akan terlaksana secara berjemaah yang secara tidak langsung akan didirikan pada awal waktu.

Faktor kedua untuk memastikan janji pada diri terlaksana ialah janji yang dibuat perlu mengikut keutamaan. Menurut Hukum Pareto oleh Vilfredo Pareto, yang menepati hukum sunatullah iaitu dalam kehidupan terdapat 20 peratus perkara sangat penting dan perlu tumpuan usaha sepenuhnya apabila ia akan menggerakkan 80 peratus impak untuk diselesaikan. Kenal pasti perkara utama dalam diri, fokus kepada 20 peratus daripada perkara utama itu dan usahakan bersungguh-sungguh.

Insya-Allah baki 80 peratus akan selesai dengan sendiri apabila 20 peratus dapat diselesaikan. Umpama menyatukan batu kecil, batu besar dan pasir di dalam satu balang. Jika memuatkan pasir diikuti batu kecil, percayalah ketika batu besar ingin dimasukkan, sudah tiada ruang untuknya.

Tetapi, jika mengikut hukum Pareto ini, batu besar perlu dimasukkan lebih dahulu diikuti batu kecil yang akan mengisi di celahan batu besar dan akhir sekali pasir yang akan memenuhi ruang kecil yang tertinggal.

Jika tersesat di hujung jalan, kembali ke pangkal jalan. Tetapi, jika berada di jalan yang benar dan ada halangan besar, maka teruskan perjalanan. Teruslah berjanji pada diri sendiri untuk melaksanakan perkara baik.

Apabila gagal, berjanji lagi dan tambah dengan janji untuk tidak mungkir janji. Berjanji untuk tidak mengalah dan terus mujahadah kerana Allah SWT.

Penulis Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Johor

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mac 2023 @ 7:00 AM