TASH Yong ambil peluang kongsi resipi masakan dengan pengikut di Instagram.
TASH Yong ambil peluang kongsi resipi masakan dengan pengikut di Instagram.
Norhayati Nordin


PERUBAHAN imej yang kini bertudung dan lebih menenangkan hatinya, membuat pelakon Tash Yong makin bahagia dan ceria melalui hari-hari yang mendatang dengan reda.

Meski pada awal 2021 ini yang masih lagi suram akibat penularan Covid-19 melanda negara hingga sekarang, wanita berusia 31 tahun ini hanya mampu mengambil pendekatan positif.

Berikutan juga dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan semula oleh kerajaan kini, masa terluang di rumahnya diisi Tash dengan aktiviti pilihan seperti memasak.

Ujar pemilik nama sebenar Nur Natasha Shazlia Rosli ini, kehidupan mesti diteruskan dan bagi mengelak bosan di rumah kerana tidak boleh keluar bekerja seperti biasa, perlu ada aktiviti.

"Alhamdulillah, bila ada peluang ke dapur ini saya cuba-cuba berkongsi beberapa resipi enak dan mudah dimasak kepada pengikut di media sosial seperti Instagram.

"Bagi saya, boleh juga berkongsi menu kerana PKP ini pun kita tidak tahu sampai bila?. Ditambah, laporan kes jangkitan Covid-19 setiap hari pun masih meningkat.

"Jadi, saya suka-suka sahaja nak berkongsi video memasak itu kerana banyak masa lapang. Selain mengemas rumah, seronok sebenarnya dapat memasak hidangan untuk kita nikmati bersama keluarga atau rakan," katanya.

Menurut Tash, dia juga selalu dengar orang cakap memasak makanan itu mampu mengeratkan kasih sayang.

Apapun, ujarnya dia memasak kerana suka dan minat berkongsi resipi.

Sering juga ditanya mengenai penjagaaan kecantikannya, Tash yang pernah dikenali dengan drama seperti Cinta Ibadah, Memori Cinta Suraya dan Menantu Ting Tong berkata dia tiada sebarang petua.

CANTIK berseri, Tash Yong akui tiada petua tertentu diamalkan.
CANTIK berseri, Tash Yong akui tiada petua tertentu diamalkan.

Namun, katanya dia sentiasa percaya kecantikan dalaman seseorang itu paling utama. Ujarnya, cantik bukan sekadar luaran tetapi dalaman juga.

"Pandangan saya agak mudah, kecantikan luaran biasanya tidak kekal. Namun, bagaimana seri wajah itu mampu kelihatan cantik pastilah dalamannya juga kena ikhlas dan ada rasa syukur.

"Saya memang tiada petua tertentu dalam menjaga kecantikan. Untuk saya, hanya pastikan membersih solekan setiap hari serta selesa mengenakan solekan yang nipis," katanya.

Tash yang mula bertudung pada sambutan Aidiladha tahun lalu berkata dia kini masih lagi belajar bermuhasabah diri. Katanya, yang pasti dia enggan melakukan perubahan diri drastik.

Mengenai kerjaya seninya pula, Tash berkata dia masih lagi menerima tawaran berlakon drama. Jelasnya, meski sudah sedekad aktif dalam lakonan dia tidak memilih watak, tetapi pastikan sesuai dengan imej dan jalan cerita.

Sehubungan itu, untuk projek lakonan terbaharunya Tash bersyukur dapat peluang membintangi drama Mak Abang Nak Kahwin sebagai Ustazah May arahan Rahila Ali untuk tayangan TV AlHijrah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2021 @ 6:30 AM