NEELOFA.
NEELOFA.
Syafil Syazwan Jefri

 

Kuala Lumpur: Individu yang didakwa memfitnah pengacara, Neelofa iaitu Syamira Safiya tampil membuat permohonan maaf secara terbuka di Twitter. 

Dalam kenyataan itu, Syamira mengakui mengeluarkan kenyataan di Twitter dan pelbagai platform media sosial lain tanpa asas dan tidak benar pada 26 Disember lalu.

"Saya, Syamira Safiya dengan ini menarik balik kenyataan yang saya buat terhadap Cik Neelofa serta pembantu peribadi beliau di Twitter dan pelbagai platform media sosial pada 26 Disember 2020.

"Saya mendakwa dan membuat pernyataan itu tanpa asas dan ia adalah tidak benar," katanya.

Syamira juga menegaskan bahawa dia tidak berniat jahat ketika menulis kenyataan itu sekali gus kesal dengan tindakannya. 

"Kenyataan itu tidak dibuat dengan niat jahat untuk berbohong atau mencemarkan nama baik mereka.

"Saya juga amat kesal kerana tindakan peribadi ini menimbulkan rasa malu, sedih dan membawa kesusahan kepada mereka," katanya. 

Dalam masa sama, Syamira berkata permohonan maaf itu dibuat atas kerelaan hatinya sendiri. 

"Permohonan maaf ini saya buat di atas kerelaan hati saya sendiri untuk saya perbetulkan keadaan tanpa tekanan daripada mana-mana pihak," katanya. 

Syamira sebelum ini berkongsi beberapa cerita yang disertakan dengan tangkap layar mesej dari aplikasi WhatsApp berkenaan hubungan Neelofa dan PU Riz serta beberapa perkara.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Neelofa menafikan tuduhan yang mendakwa kononnya sudah berkahwin di Kelantan, terkena ubat pengasih dan memindahkan sejumlah duit yang banyak kepada pendakwah muda itu. 
 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 January 2021 @ 9:44 AM