FATTZURA terharu dengan doa peminat.
FATTZURA terharu dengan doa peminat.
PASANGAN pengantin melambai ke arah peminat sebaik masuk ke dewan persandingan.
PASANGAN pengantin melambai ke arah peminat sebaik masuk ke dewan persandingan.
Ridzuan Abdul Rahman


Impian peminat untuk sama-sama meraikan pasangan pelakon Hero Seorang Cinderella akhirnya kesampaian apabila dijemput hadir ke majlis persandingan kedua Fattah Amin dan Nur Fazura di Royale Palace, Shah Alam, kelmarin.

Undangan yang dibuat menerusi akaun Instagram masing-masing beberapa hari sebelum majlis berlangsung berjaya menarik kehadiran lebih 5,000 peminat yang tidak mahu melepaskan peluang bertemu artis pujaan mereka.

Walaupun ramai yang hadir, perjalanan majlis berjalan lancar dan meriah, paling penting tidak berlaku sebarang kejadian tak diingini membabitkan mana-mana pihak.

Fattah dan Fazura yang lebih dikenali sebagai Fattzura melangkah masuk ke dewan persandingan pada jam 3 petang menggayakan busana tradisional rona lavender hasil rekaan Altelia Amani.

Peminat yang sudah lama menanti seakan-akan tidak sabar mahu mengambil gambar sekali gus merakamkan kenangan berada pada majlis bersejarah buat mereka itu.

Majlis dibahagikan kepada dua sesi iaitu pada sebelah pagi, pasangan ini meraikan tetamu kehormat dan penaja, manakala acara sebelah petang pula khusus untuk peminat.

Menambah kemeriahan, majlis ini turut diserikan dengan persembahan nyanyian oleh Bob Yusof, Khai Bahar, Syura dan Fazli Zainal.

Sebagai tanda kenangan dan kejutan buat peminat, pasangan Fattzura turut berduet menyampaikan lagu Cinderella secara ‘live’.

Lagu ciptaan penyanyi dan komposer, Aizat Amdan ini turut dimuatkan dalam drama bersiri Hero Seorang Cinderella yang mencetuskan bibit cinta di antara mereka tahun lalu.

Keseronokan peminat semakin bertambah apabila pasangan ini turut meluangkan masa beramah mesra dan merakamkan foto kenangan bersama mereka.

Tidak ketinggalan, Fattah dan Fazura juga turut menari tarian tradisional dan poco-poco bersama peminat sebelum menutup majlis pada jam 5 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Mac 2018 @ 9:38 AM