BAKAL ibu bapa mempelajari pentingnya memperuntukkan masa tambahan ketika memandikan bayi dalam kempen #5MinutesMore.
BAKAL ibu bapa mempelajari pentingnya memperuntukkan masa tambahan ketika memandikan bayi dalam kempen #5MinutesMore.
Oleh Nor Faizah Mohamed

Apa yang boleh dilakukan dalam tempoh lima minit? Berbual di telefon, mandi atau melakukan senaman ringan di tempat kerja?

Bagi si kecil, tempoh lima minit yang diberikan padanya amat bermakna dan memberi impak positif dalam perkembangan minda serta fizikal mereka.

Justeru, ketepikan seketika masa yang dihabiskan di media sosial dengan memberi ruang dan tumpuan kepada si kecil meskipun hanya lima minit di bilik mandi.

Seperti yang dilakukan Johnson’s baru-baru ini, ibu bapa digalakkan melakukan akur janji untuk meluangkan masa sekurang-kurangnya lima minit dengan memandikan si manja dalam usaha meningkatkan lagi perkembangan minda mereka.

Selain itu, usaha ini turut membantu menceriakan kanak-kanak kurang bernasib baik yang mengalami masalah mulut dan bibir sumbing.

Dalam gerakan meningkatkan kesedaran mengenai faedah rangsangan pelbagai deria ini, Johnson’s meng­gesa ibu bapa berikar secara dalam talian untuk memberi tambahan masa lima minit buat si kecil setiap hari bagi memaksimumkan potensi perkembangan mentalnya.

Sebagai tambahan manfaat kepada bayi dan membina tujuan sosial golongan ibu terbabit, Johnson’s komited menderma RM100,000 pada semua akur janji itu kepada program Operation Smiles iaitu program untuk kanak-kanak yang lahir dengan bibir sumbing.

Pengarah Negara Kumpulan Runcit Johnson & Johnson Malaysia, Stuart Crabb berkata, kempen dikenali #5MinutesMore ini menggalakkan ibu bapa Malaysia mengetepikan seketika rutin harian yang sibuk dengan memberi tumpuan kepada si kecil terutama ketika mandi.

“Kajian Sains Deria menunjukkan bahawa rangsangan deria secara serentak membantu meningkatkan perkembangan otak dan kesejahteraan keseluruhan bayi.

“Oleh itu, kami berasakan amat penting bagi menghimpun seramai mungkin ibu bapa Malaysia untuk berikrar menghabiskan lebih banyak masa dan melakukan aktiviti kreatif serta intim bersama si kecil.

“Walaupun hanya tambahan lima minit setiap hari, besar manfaatnya pada bayi. Dalam masa sama mereka juga terbabit dalam usaha membantu menggembirakan bayi lain yang lahir dengan masalah bibir sumbing menerusi program Operation Smiles ini,” katanya.

Laporan Tempoh Mandi Global Johnson’s mendapati ibu Malaysia secara tipikalnya memandikan bayi mereka 14 kali seminggu dua kali lebih kerap berbanding ibu di negara lain.

Bagaimanapun, masa yang dihabiskan di bilik mandi agak pendek berbanding tempoh standard iaitu 20 minit, sekali gus mengurangkan faedahnya pada bayi.

Disebabkan itu Johnson’s menggandakan usaha menggesa lebih ramai ibu Malaysia berikrar memperuntukkan tambahan lima minit di bilik mandi bersama si kecil.

Beberapa kajian mendapati rangsa­ngan pelbagai deria dapat mengoptimumkan perkembangan otak bayi. Manfaat utamanya ialah apabila pelbagai deria ini dirangsang dalam masa sama, secara sekali gus.

Tumpuan rangsangan ini dengan mudah boleh berlaku ketika mandi terutama bagi kalangan ibu moden yang mengejar masa aktiviti lain.

Lagipun, ia aktiviti rutin antara ibu dan bayi, justeru hanya perlu ditingkatkan saja tempohnya dan membabitkan banyak aktiviti sentuhan, penglihatan dan pembelajaran yang dilakukan secara tidak langsung.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Ogos 2015 @ 11:57 AM