KEADAAN bahagian depan pesawat MASwings yang kemek akibat bergesel.
KEADAAN bahagian depan pesawat MASwings yang kemek akibat bergesel.
Oleh Abdul Rahman Adam


Kuching: Hujung sayap kiri pesawat persendirian yang membawa Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud bergesel dengan bahagian depan pesawat MASwings di Lapangan Terbang Mukah di sini, petang tadi.

Dalam kejadian 4.42 petang itu, pesawat terbabit dipercayai baru mendarat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), kira-kira sejam sebelum itu.

Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Jimmy Panyau ketika dihubungi, berkata hujung sayap kiri pesawat terbabit bergesel dengan bahagian depan pesawat yang berada di landasan lapangan terbang berkenaan.

Katanya, kejadian itu menyebabkan bahagian depan pesawat terbabit kemik di bahagian depan, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Difahamkan, Abdul Taib ke Mukah untuk menghadiri Majlis Berbuka Puasa bersama penduduk di Kampung Setia Raja, di sini.

Sementara itu, MASwings ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Julai 2015 @ 8:32 PM