PENGERUSI SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menunjukkan peta kawasan DUN N 06 Chempaka. FOTO A'isyah Sukaimi
PENGERUSI SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menunjukkan peta kawasan DUN N 06 Chempaka. FOTO A'isyah Sukaimi
Oleh Siti A'isyah Sukaimi


Putrajaya: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N 06 Chempaka, Kelantan ditetapkan pada 22 Mac manakala penamaan calon pada 10 Mac dan pengundian awal pada 18 Mac 2015, kata Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Beliau berkata, seramai 21,890 pemilih berdaftar akan menjalankan tanggungjawab mereka yang terdiri daripada 20,390 pengundi biasa, 1,497 pengundi awal dan tiga pengundi tidak hadir luar negara.

"Sebanyak 10 pusat mengundi dibuka bagi tujuan pengundian. Bagi pengundian awal, SPR menggunakan Dewan Tan Sri Hamid Bidin, Kem Pengkalan Chepa, manakala sembilan sekolah digunakan sebagai pusat mengundi yang keseluruhan mengandungi 42 saluran tempat mengundi," katanya pada sidang media PRK DUN N 06 Chempaka di sini, hari ini.

Katanya, seramai 403 petugas pilihan raya dilantik dan PRK ini memerlukan anggaran belanjawan sebanyak RM810,000.

Kerusi DUN Chempaka kosong selepas penyandangnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, 84, meninggal dunia pada 12 Februari lalu akibat kanser prostat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Februari 2015 @ 12:38 PM