LATIF (kanan) pada majlis penghargaan pemenang pingat Paralimpik Rio oleh Kumpulan DRB-Hicom.
LATIF (kanan) pada majlis penghargaan pemenang pingat Paralimpik Rio oleh Kumpulan DRB-Hicom.
Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Jaguh lompat jauh paralimpik negara Abdul Latif Romly mengambil pendekatan berhati-hati bagi memastikan kecederaan lutut yang dialaminya tidak menjejaskan impiannya untuk memecahkan rekod kebangsaan.

Pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio itu menjelaskan dia masih lagi dalam proses pemulihan walaupun sudah kembali menjalani latihan penuh awal minggu ini.

“Sekarang saya menjalani proses pemulihan susulan kecederaan lutut kanan, mungkin mengambil masa satu atau dua bulan.

“Saya perlu berhati-hati bagi mengelak ia menjadi serius sehingga boleh menjejaskan perancangan,” menurut atlet berusia 19 tahun itu.

Atlet kelahiran Perlis itu pernah berehat panjang sebelum Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak susulan kecederaan belakang.

Abdul Latif dijadualkan beraksi pada Grand Prix Dubai, Februari depan selepas kejayaan melakar rekod dunia di Rio untuk memenangi emas dalam kategori T20.

“Saya hanya mahu mengekalkan jarak lompatan secara konsisten di Dubai dan mencapai kedudukan terbaik.

“Saya merasakan rekod kebangsaan tidak akan mampu dipecahkan dalam masa terdekat. Mungkin di Sukan SEA nanti ia boleh dilakukan dengan kehadiran pencabar negara lain,” tambahnya.

Terdahulu, Abdul Latif hadir pada majlis anjuran DRB-Hicom Berhad yang menghadiahkan pakej umrah kepada pemenang pingat Sukan Paralimpik Rio dengan nilai keseluruhan melebihi RM200,000.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 November 2016 @ 7:33 AM