DATUK Seri Muhammad Sanusi Md Nor ketika hadir
DATUK Seri Muhammad Sanusi Md Nor ketika hadir
M Hifzuddin Ikhsan


Alor Setar: Kerajaan negeri bersetuju membina empangan air bawah tanah di Padang Matsirat, Langkawi, bagi mengatasi masalah bekalan air domestik yang dialami penduduk pulau itu.

Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata cadangan itu dikemukakan Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) yang mendapati ia mampu dilaksana kerana infrastruktur sama turut dibangunkan di luar negara.

Jelasnya, empangan air bawah tanah itu bakal menjadi kemudahan pertama dibina di negara ini, sekiranya pembangunannya berjaya dilaksanakan.

"Kita akan hantar EXCO Bekalan Air (Mohamad Yusoff@Munir Zakaria) dan pasukan teknikal ke Jepun untuk melihat secara terperinci empangan yang berjaya dibangunkan di kawasan pulau negara itu.

"Kita akan tengok dan kaji sehingga berpuas hati kerana kita takut apabila membelanjakan sehingga lebih RM300 juta ia tidak berkesan," katanya ketika hadir Rumah Terbuka Aidilfitri Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Kedah di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, pihak konsultan dari Jepun yang meninjau keadaan kesesuaian projek itu juga mendapati empangan air bawah tanah boleh dilaksana di Langkawi.

"Kawasan di Padang Matsirat memiliki hamparan batu di bahagian tepi dan bawah serta sungai di atas yang hanya memerlukan sedikit sekatan untuk dijadikan empangan bawah tanah.

"Buat masa ini, kerja pembaikan paip dasar laut yang menyalurkan bekalan air dari tanah besar ke Langkawi sedang dilakukan dan ia dijangka mengambil masa sehingga hujung tahun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 9:19 PM