FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Diet pemakanan kurang garam boleh memberikan perbezaan ketara dalam pengurusan penyakit buah pinggang kronik (CKD) iaitu keadaan fungsi buah pinggang merosot secara beransur-ansur.

Pakar Perunding Nefrologi dan Pemindahan Buah Pinggang Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway Dr Rosnawati Yahya berkata dalam berdepan penyakit CDK, sesetengah diet seperti Dietary Approaches to Stop Hypertension (DASH) dan Mediterranean diet juga dapat membantu dalam pengurusan penyakit itu.

Beliau berkata, DASH adalah pelan pemakanan sihat yang dirancang untuk membantu pencegahan dan merawat tekanan darah tinggi (hipertensi) selain dapat membantu menurunkan kolesterol yang sering dikaitkan dengan penyakit jantung.

"Diet ini mengutamakan sayur-sayuran, buah-buahan, bijirin penuh, produk tenusu tanpa lemak atau rendah lemak, ikan, ayam dan kekacang yang kaya dengan mineral seperti kalium, kalsium serta magnesium.

"Ia dapat membantu mengehadkan pengambilan makanan yang tinggi kandungan garam (sodium), gula, dan lemak tepu seperti daging yang berlemak dan produk tenusu berlemak penuh," katanya tadi..

Menjelaskan mengenai penyakit itu, Dr Rosnawati berkata CKD pada peringkat awal, tidak menunjukan sebarang gejala atau simptom menyebabkan kebanyakan pesakit tidak sedar buah pinggang mereka bermasalah.

Justeru katanya langkah pengesanan awal amat penting malah menjadi 'senjata' terbaik untuk melawan CKD.

"Pengesanan awal boleh dilakukan dengan petunjuk seperti proteinuria (paras protein yang tinggi dalam air kencing pesakit) atau penurunan fungsi buah pinggang dengan anggaran kadar penapisan glomerular (eGFR).

"Ini membolehkan doktor menerapkan strategi yang dapat mengurangkan risiko berkaitan dengan masalah kardiovaskular, kegagalan buah pinggang dan kematian," katanya.

Di Malaysia menurutnya, CKD adalah epidemik dan penyakit ini menjejaskan 15.48 peratus masyarakat di negara ini dengan merekodkan peningkatan kes daripada 9.07 peratus pada 2011 kepada 15.48 peratus pada 2018.

Penyakit darah tinggi atau hipertensi, diabetes mellitus, masalah berat badan yang berlebihan, dan peningkatan usia menjadi antara faktor penyumbang tertinggi penyakit ini.

CKD boleh diklasifikasikan kepada lima peringkat, dengan peringkat satu adalah tahap paling ringan dan peringkat lima adalah peringkat terakhir apabila fungsi buah pinggang kurang daripada 15 peratus dan memerlukan rawatan gantian buah pinggang seperti dialisis atau pemindahan buah pinggang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2024 @ 2:50 PM