Mohd Roji Kawi


Kuching: Kerajaan Sarawak bersedia untuk mempertimbangkan pembukaan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) bagi menempatkan pelancong yang didapati positif wabak itu.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, ia bagi memudahkan pelancong terbabit mendapatkan rawatan jika mereka tidak mempunyai tempat tinggal.

Beliau yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak berkata, berikutan peningkatan semula wabak itu khususnya di China, individu yang memasuki Sarawak perlu menjalani pemeriksaan suhu badan ketika tiba di lapangan terbang.

"Jika suhu badan mereka tinggi dan ada tanda demam, mereka akan menjalani pemeriksaan lanjut.

"Kini menjadi tanggungjawab kita sendiri untuk menjalani kuarantin di rumah (jika positif) dan bagi pelancong, kita akan mempertimbangkan untuk menyediakan PKRC," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran Kempen Keselamatan Kebakaran Sempena Perayaan Tahun Baharu Cina di Farley, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Datuk Khirudin Drahman.

Mengulas lanjut, Dr Sim berkata, berikutan kini rakyat kini hidup bersama virus Covid-19, menjadi keutamaan bagi setiap rakyat untuk menjaga keselamatan diri.

"Jika dalam tempoh tiga tahun sebelum ini, kerajaan menjaga rakyat dengan melaksanakan pelbagai langkah penjagaan, namun kini rakyat bertanggungjawab menjaga diri sendiri seperti mengambil langkah pencegahan dengan memakai pelitup muka dan menjaga kebersihan tangan," katanya.

Sementara itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pihaknya membuat keputusan untuk melaksanakan strategi kesiapsagaan yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Antaranya memperkukuhkan saringan terhadap pengembara di pintu masuk antarabangsa dan mewajibkan semua pengembara yang tiba dari luar negara perlu melalui proses saringan suhu badan.

Pengembara yang dikesan demam atau bergejala atau melalui pengisytiharan kendiri atau rujukan kendiri atau dirujuk oleh kru pesawat akan diberi slip untuk ujian Covid-19 di klinik swasta atau kerajaan.

Ujian Covid-19 swab tekak dikehendaki untuk diambil di dalam tempoh 48 jam dan jika positif Covid-19, pengembara akan menjalani kuarantin di premis penginapan dan diuruskan mengikut Garis Panduan Pengurusan Covid-19 di Malaysia No.5/2020 (ANNEX 2: Management of Suspected, Probable and Confirmed Covid-19 – kk 05/04/2022).

Bagi pengembara yang didapati negatif Covid-19, tetapi bergejala dinasihatkan agar memakai pelitup muka terutama apabila berada di tempat orang ramai, perhimpunan atau

tempat sesak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2023 @ 6:39 PM