SMK Taman Ria Jaya Sg Petani dinobatkan tempat pertama dalam pertandingan melukis mural disekolah pada majlis penyampaian anugerah Minda Sihat Cergas Fizikal Serlahkan Kecerian bersama Gardenia Quickbites. FOTO ROHANIS SHUKRI
SMK Taman Ria Jaya Sg Petani dinobatkan tempat pertama dalam pertandingan melukis mural disekolah pada majlis penyampaian anugerah Minda Sihat Cergas Fizikal Serlahkan Kecerian bersama Gardenia Quickbites. FOTO ROHANIS SHUKRI
Izzati Zaidi


Kuala Lumpur: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Ria Jaya, Sungai Petani, Kedah diumumkan sebagai juara dalam Pertandingan Melukis Mural Serlahkan Keceriaan Bersama Gardenia QuickBites, semalam.

Kemenangan dalam pertandingan bertemakan "Minda Sihat, Cergas Fizikal" itu membolehkan sekolah berkenaan membawa pulang wang tunai RM2,000 dan sijil penghargaan.

Manakala, tempat kedua diungguli SMK Putrajaya Presint 9 (2) dan SMK Tan Sri Jaafar Albar, Kota Tinggi, Johor pula memenangi tempat ketiga.

Kedua-dua sekolah berkenaan masing-masing membawa pulang wang tunai RM1,500 dan RM1,000 berserta sijil penghargaan.

Wakil SMK Taman Ria Jaya, Aiqbal Naqiu Abdul Halim, 17, berkata dia tidak menyangka sekolahnya dinobatkan sebagai pemenang dalam pertandingan itu.

"Rasa agak teruja dan gembira sebab kami sendiri tak sangka boleh menang pertandingan ini.

"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak Gardenia kerana memilih sekolah kami sebagai juara untuk pertandingan ini," katanya pada majlis penyampaian hadiah, di sini.

Turut hadir, Pengurus Pemasaran Gardenia Bakeries, Lavinia Anthony dan Timbalan Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pendidikan, Cyril Christopher Singham.

Pertandingan anjuran Gardenia Bakeries itu mendapat kerjasama Kementerian Pendidikan membabitkan penyertaan sebanyak 100 sekolah di Zon Pusat, Utara, Selatan dan Pantai Timur.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Gardenia Bakeries, Lavinia Anthony berkata, pertandingan yang berlangsung dari Jun hingga Oktober lalu tidak hanya tertumpu kepada lukisan mural, tetapi juga kesihatan mental.

"Gardenia QuickBites berbesar hati kerana dapat memberi saluran untuk melepaskan ketegangan atau stres yang mungkin dialami oleh pelajar menerusi aktiviti merehatkan minda seperti melukis mural.

"Melalui program ini, bukan sahaja dapat memupuk semangat kerjasama dan hubungan silaturahim dalam mencerna idea, malah dapat mencungkil bakat terpendam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 November 2022 @ 6:06 PM