Zamzuliana bersama pegawai yang bertugas ketika Aidilfitri tahun lalu. FOTO Ihsan Zamzuliana Awang
Zamzuliana bersama pegawai yang bertugas ketika Aidilfitri tahun lalu. FOTO Ihsan Zamzuliana Awang
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: "Sepanjang tempoh hampir 26 tahun saya berkhidmat, hanya tiga kali sahaja saya berpeluang meraikan Aidilfitri bersama ahli keluarga di kampung halaman," kata Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Kanan Kawalan Operasi Pintu Keluar Masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Zamzuliana Awang.

Zamzuliana, 42, berkata, dia sudah sebati dengan penugasan ketika sambutan hari raya memandangkan waktu penugasannya mengikut syif.

Katanya, sejak mula berkhidmat dalam pasukan, dia bertugas mengikut syif dan perlu bertugas pada cuti umum termasuk Aidilfitri.

"Selain di KLIA, saya juga pernah ditempatkan di depoh dan pelabuhan yang memerlukan kami bertugas dalam tempoh 24 jam sehari.

"Keperluan tugasan ini menyebabkan saya sudah terbiasa untuk bekerja pada Aidilfitri, malah ahli keluarga juga amat memahami situasi ini.

"Saya merancang untuk pulang ke kampung halaman di Ipoh dan Kuala Kangsar, Perak pada minggu ketiga bulan Syawal selepas kebanyakan anak buah sudah kembali bertugas," katanya.

Bagi Pegawai Turus Operasi Kontinjen di Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Asisten Superintendan Rasha Azrul Shafii, 40, pula memaklumkan kali terakhir dia pulang ke kampung halaman di Kuala Krai, Kelantan untuk meraikan Aidilfitri adalah 10 tahun lalu.

"Tugas sebagai pegawai polis memerlukan saya bersedia untuk bertugas pada setiap masa termasuk ketika sambutan Aidilfitri.

"Tidak dapat dinafikan, memang ada perasaan sayu melihat warga kota pulang ke kampung untuk berjumpa ibu bapa dan sanak saudara, namun semangat demi tugas membantu saya memberi pengorbanan demi negara.

"Pada masa sama juga, saya bersyukur kerana ahli keluarga saya amat memahami tugas saya yang perlu bertugas pada hari raya dan cuti-cuti umum yang lain," katanya.

Sementara itu, pegawai penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur, Mohd Shasriduan Haroon, 38, berkata, meskipun sedih kerana tidak dapat beraya bersama keluarga di kampung, namun dia tetap bersemangat apabila menerima reaksi positif daripada orang ramai ketika bertugas.

"Kali terakhir saya beraya bersama keluarga di kampung, Kemunting, Perak adalah pada 2019 iaitu sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Berdasarkan pengalaman saya bekerja (pada Hari Raya Aidilfitri) adalah pengguna jalan raya sering memberikan kata-kata semangat dan ucapan hari raya kepada kami.

"Kata-kata dari mereka itulah yang menguatkan semangat kami untuk terus berkhidmat kepada pasukan serta masyarakat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mei 2022 @ 4:20 PM