BERNAMA

Kuala Lumpur: Sebanyak 412,026 kanak-kanak berusia antara lima dan 11 tahun atau 11.6 peratus sudah melengkapkan vaksinasi mereka di bawah Program Imunisasi Kanak-Kanak Covid-19 Kebangsaan (PICKids), setakat semalam.

Berdasarkan laman web COVIDNOW, sebanyak 1,412,867 kanak-kanak dalam kumpulan sama atau 39.8 peratus sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi remaja berumur 12 hingga 17 tahun pula, sejumlah 2,873,414 individu atau 92.4 peratus sudah menerima vaksinasi lengkap, manakala 2,974,984 individu atau 95.7 peratus sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sementara itu, bagi populasi dewasa pula, sebanyak 15,974,034 individu atau 67.9 peratus sudah menerima suntikan dos penggalak, manakala 22,960,906 atau 97.6 peratus sudah lengkap menerima dua dos vaksin dan 23,238,026 atau 98.8 peratus sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan.

Sebanyak 60,184 dos vaksin Covid-19 harian sudah diberikan semalam membabitkan 11,268 dos pertama, 45,359 dos kedua dan 3,557 dos penggalak, menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebanyak 69,633,398.

Sementara itu, menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, 12 kematian akibat Covid-19 dilaporkan di seluruh negara dengan Kedah mencatat jumlah tertinggi iaitu empat kes diikuti Pulau Pinang dengan tiga kes, Sarawak (dua kes) dan satu kes masing-masing di Melaka, Perak dan Selangor.

GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 April 2022 @ 9:45 AM