GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pemansuhan penjarakan fizikal untuk solat jemaah selaras Fasa 'Peralihan Ke Endemik' mulai 1 April ini akan terus memakmurkan institusi masjid dan surau dengan aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad berkata, pengumuman yang dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam amat dinanti-nantikan oleh umat Islam di negara ini, terutamanya menjelang Ramadan.

"Pengumuman ini dibuat berasaskan fakta dan data, juga selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk penilaian risiko daripada Kementerian Kesihatan dan pandangan yang dikemukakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia," katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, pelaksanaan itu dan prosedur operasi standard (SOP) akhir adalah tertakluk kepada ketetapan pihak berkuasa agama negeri masing-masing.

Idris berkata, Fasa Peralihan Ke Endemik bermula 1 April adalah terjemahan kepada kejayaan usaha-usaha kerajaan bagi menangani krisis kesihatan Covid-19 selain kerjasama erat daripada Keluarga Malaysia.

"​Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ingin menyeru kepada umat Islam untuk terus berdoa serta bermunajat agar rakyat dan negara terus dipelihara daripada sebarang kemudaratan dan bencana," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mac 2022 @ 11:52 AM