KES kematian yang meragut nyawa rakyat Malaysia akibat Covid-19 bukan melibatkan angka yang kecil.
KES kematian yang meragut nyawa rakyat Malaysia akibat Covid-19 bukan melibatkan angka yang kecil.
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Bantuan RM500 akan disalurkan kepada 70 pelajar di Terengganu yang menjadi yatim atau yatim piatu selepas kehilangan ibu, bapa atau penjaga akibat Covid-19.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pemberian bantuan itu disediakan untuk mereka dalam bentuk tunai dan caruman tabung pendidikan.

"Saya ingin menzahirkan rasa dukacita nasib 70 pelajar kita yang kematian ibu bapa dan penjaga mereka akibat Covid-19.

"Sebagai tanda simpati kerajaan negeri, pemberian bernilai RM500 disediakan untuk mereka dalam bentuk tunai dan caruman tabung pendidikan (dan) sama-samalah kita mendoakan semoga ibu dan ayah mereka ditempatkan dalam kalangan solihin," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Terengganu 2022 pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Ke-14 (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Selain itu, Ahmad Samsuri turut mengumumkan bantuan tunai 'one-off' bernilai RM150 kepada 6,000 isteri ketua isi rumah e-Kasih dan ibu tunggal yang berpendapatan di bawah RM2,500 bagi menyokong kehidupan para isteri dan kaum ibu.

Katanya, seramai 8,900 orang kurang upaya (OKU) daripada isi rumah berpendapatan RM4,000 dan ke bawah juga akan menerima bantuan tunai 'one off' sebanyak RM150.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 November 2021 @ 3:49 PM