Amir Mamat


Melaka: Mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memilih Melaka sebagai lokasi percutian beliau hari ini kerana negeri ini memiliki banyak destinasi untuk dilawati selain mempunyai ramai kenalan lama.

"Saya bercuti, melancong dan jumpa kawan-kawan lama," katanya.

Najib ditemui ketika makan tengah hari bersama nelayan dan masyarakat Kampung Hailam, Tanjung Kling di jeti nelayan kampung berkenaan.

Najib sebelum itu mengambil peluang bertemu dan beramah mesra dengan penduduk di sekitar Tangga Batu di sini.

Program percutian dimulakan dengan membeli barangan basah seperti ikan dan sayur di Pasar Terbuka Pantai Puteri sebelum minum pagi bersama peniaga serta penduduk kawasan berkenaan.

Datuk Seri Najib Razak semasa melawat pangkalan jeti nelayan pada sesi Ramah Mesra dan Makan Tengahari di Jeti Nelayan Kampung Hailam, Tanjung Kling, Melaka. FOTO Syafeeq Ahmad
Datuk Seri Najib Razak semasa melawat pangkalan jeti nelayan pada sesi Ramah Mesra dan Makan Tengahari di Jeti Nelayan Kampung Hailam, Tanjung Kling, Melaka. FOTO Syafeeq Ahmad

Najib yang diiringi Timbalan Speaker Dewan Negara yang juga Ketua Umno Bahagian Tangga Batu Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad dan Ketua Umno Bahagian Jasin Datuk Wira Hasan Abd Rahman kemudiannya menikmati juadah asam pedas untuk makan tengah hari bersama nelayan dan masyarakat Kampung Hailam.

"Saya bercuti dan bertemu masyarakat di sini bukanlah boleh ditakrifkan sebagai kempen pilihan raya. Saya hendak tengok sendiri keadaan di jeti nelayan ini selain memenuhi undangan Datuk Seri Mohamad Ali untuk menjamu selera di sini.

"Saya lihat kawasan ini memang berpotensi untuk dimajukan dan saya berpuas hati sejak kerajaan BN memerintah, nelayan di sini dapat banyak manfaat termasuk jeti, kemudahan letak bot dan lampu.

"Ini menunjukkan dasar kerajaan BN memang mengubah keadaan hidup di sini dan dalam pada itu, Datuk Abu Bakar Mohamad Diah yang juga Ahli Parlimen Tangga Batu, berjaya mengubah keadaan di sini," katanya.

Najib juga dijadual akan menikmati cendol di Kampung Tengah, Bukit Rambai petang ini serta membeli-belah di sebuah pasar raya di Taman Nirwana, Klebang.

Pada sebelah malam pula, Najib akan makan malam bersama penduduk di Batang Tiga serta beramah mesra dengan pengunjung 'Down Town' Dataran 1Malaysia, manakala pagi esok pula, beliau akan bersarapan bersama penduduk Sungai Udang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Oktober 2021 @ 3:32 PM