Foto hiasan
Foto hiasan
BERNAMA

Putrajaya: Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) membatalkan keputusan Peperiksaan Memasuki Perkhidmatan Awam (PSEE) serta menyenarai hitam calon yang didapati terbabit dalam salah laku integriti ketika menduduki peperiksaan itu.

SPA dalam kenyataannya hari ini memaklumkan hasil pemantauan dan siasatan pihaknya mendapati ada calon yang tidak bertanggungjawab ketika menduduki PSEE.

"SPA mengenal pasti calon yang melakukan salah laku integriti dengan mewujudkan kumpulan tertentu dalam WhatsApp dan Telegram, bertujuan menawarkan perkhidmatan berbayar penyediaan jawapan atau bersubahat melakukan aktiviti peniruan dan perkongsian jawapan bagi tujuan lulus PSSE," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut SPA memandang serius perkara berkenaan dan menegaskan bahawa permohonan calon terbabit bagi sebarang jawatan lain tidak akan dipertimbang.

Pencarian di ruang Telegram mendapati wujud beberapa kumpulan antaranya 'Bank Soalan PSEE' dan 'PSEE Daya Menyelesaikan Masalah' yang memuat naik set soalan, jawapan serta cara kerja bagi soalan penyelesaian masalah.

Turut dimuatkan peringatan kepada anggota kumpulan bahawa mereka dilarang menghantar sebarang soalan dalam kumpulan terbabit ketika peperiksaan berlangsung.

PSEE merupakan ujian aptitud yang dijalankan secara dalam talian sebagai saringan awal kepada pemohon pekerjaan merangkumi penilaian pengetahuan am, keupayaan dalam penyelesaian masalah dan ujian kefahaman bahasa Inggeris.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 9:58 PM