GAN Ay Ling.
GAN Ay Ling.
Aizat Sharif


Kangar: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Indera Kayangan Gan Ay Ling disahkan positif Covid-19.

Adun PKR itu mengesahkan bahawa beliau dijangkiti Covid-19 selepas melakukan ujian saringan Covid-19 di Klinik Kesihatan Kampung Gial, Kangar pada Isnin lalu.

"Pada 8 Ogos lalu, saya menerima berita bahawa seorang penduduk yang saya temui pada minggu lalu didapati positif Covid-19.

"Maka pada 9 Ogos pula, saya dengan segera mengambil ujian saringan PCR Covid-19 di Klinik Kesihatan Kampung Gial untuk menyemak status kesihatan saya. Malangnya, ujian saringan itu dipulangkan dengan keputusan positif Covid-19," katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Katanya, beliau sudah pun menerima vaksin dengan dua dos lengkap pada 11 Jun lalu.

"Saya sudah mula mengamalkan pengasingan kendiri sebagai langkah berjaga-jaga sejak saya mengambil ujian saringan PCR-19 pada Isnin lalu.

"Dengan keputusan positif ini, saya akan mematuhi nasihat dan arahan pihak Pejabat Kesihatan Daerah Kangar untuk menjalankan kuarantin kendiri di rumah saya sehingga habis tempoh jangkitan ini," katanya.

Gan berkata, disebabkan itu Pusat Komuniti Adun Indera Kayangan juga akan ditutup buat sementara waktu.

"Saya mohon maaf kepada semua pihak iaitu staf pejabat saya, sahabat perjuangan dan semua penduduk yang terkesan akibat bersama dengan saya dalam beberapa program kebajikan dan penyerahan bantuan yang dilaksanakan oleh Pusat Komuniti Adun Indera Kayangan.

"Walaupun begitu semua program dijalankan mematuhi langkah ketat prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, saya menyeru semua yang mempunyai kontak rapat dengan saya sejak tujuh hari kebelakangan ini dapat menjalankan ujian saringan di klinik kesihatan yang terdekat," katanya.

Gan menjadi Adun Indera Kayangan sejak Pilihan Raya 2018 lalu selepas memenangi kerusi berkenaan dengan mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Chuah Tian Hee dan calon PAS, Wan Hassan Ismail.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Ogos 2021 @ 4:38 PM