GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Essa Abu Yamin


Batu Pahat: Seorang pencuri buah kelapa sawit maut selepas terjun daripada sebuah kenderaan di Kilometer 4, Jalan Yong Peng-Paloh, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada pengawal keselamatan sebuah syarikat perladangan swasta kira-kira jam 12.00 tengah malam.

"Pengawal keselamatan itu menyatakan seorang suspek curi buah kelapa sawit berusia 31 tahun terjun daripada kenderaan ketika mereka dalam perjalanan membawanya ke Balai Polis Yong Peng dan tidak sedarkan diri.

"Pihak polis segera ke tempat kejadian dan mendapati seorang lelaki dalam keadaan terbaring dan tidak sedar diri ditengah jalan raya," katanya dalam kenyataan dekat sini.

Ismail berkata, suspek kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Kesihatan Klinik Kesihatan Yong Peng.

"Siasatan awal mendapati suspek ditangkap pengawal keselamatan berkenaan Rabu lalu sekitara jam 11 malam di sebuah ladang sawit ketika dia (suspek) sedang menunggang motosikal dengan membawa dua guni berisi buah kelapa sawit.

"Suspek merupakan warga tempatan itu kemudian dibawa pengawal keselamatan dengan dua rakan setugasnya dengan mengunakan kenderaan persendirian ke Balai Polis Yong Peng.

"Ketika sampai di tempat kejadian kira-kira jam 11.50 malam, suspek terjun dari kenderaan berkenaan untuk melarikan diri," katanya.

Katanya, mayat suspek dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat sebelum proses bedah siasat dilakukan.

"Hasil pemeriksaan awal mendapati beberapa keretakan di bahagian kepala suspek. Siasatan diklasfikasikan sebagai kematian mengejut dan siasatan lanjut sedang dijalankan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Julai 2021 @ 2:33 PM