BERNAMA

Kuala Lumpur: Persidangan Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul pengurangan peruntukan bagi perluasan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) berjumlah RM45 juta daripada RM81.5 juta seperti yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2021.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun mengumumkan usul itu dipersetujui dengan suara majoriti selepas dibahas enam Ahli Parlimen masing-masing tiga daripada blok pembangkang dan penyokong kerajaan.

Usul itu dicadang Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Abd Rahim Bakri sebelum giliran perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).

Beliau mengemukakan usul pindaan terhadap peruntukan berjumlah RM164,151,656,800 kepada RM164,106,656,800 dalam Fasal 2 Rang Undang-Undang Perbekalan 2021.

"Pindaan ini berbangkit daripada pengurangan jumlah wang yang diperuntukkan bagi maksud mengurangkan sebanyak RM45 juta daripada jumlah yang diperuntukkan di bawah butiran perluasan Jasa Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM)," katanya.

Abdul Rahim ketika menggulung usul itu berkata, Jasa yang kini dikenali sebagai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) mempunyai peranan berbeza berbanding sebelum ini iaitu untuk membina ekosistem komuniti digital sekali gus mempercepatkan migrasi ke dunia digital bagi mereka yang belum menceburinya.

Katanya, J-Kom juga berfungsi untuk meningkatkan pencapaian digital bagi mereka yang telah memiliki kemahiran, melonjakkan dengan sepenuhnya bakat-bakat tempatan selain melaksanakan program masyarakat pintar dalam kalangan komuniti akar umbi dan menyedarkan komuniti tentang keselamatan siber.

Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen. FOTO ASYRAF HAMZAH
Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen. FOTO ASYRAF HAMZAH

Beliau berkata, matlamat yang ditentukan bagi jabatan itu adalah berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara sebagai teras utama bagi membangunkan komuniti khususnya di peringkat akar umbi.

"Ini terutamanya komuniti yang mengamalkan budaya ilmu berkemahiran digital dan menghayati makna dan fokus patriotisme dengan menggunakan pendekatan penghakupayaan komuniti. Dalam erti kata sebenar peranan sebenar J-Kom adalah untuk membina dan mengukuhkan ekosistem komuniti digital," katanya.

Terdahulu, Khalid Abdul Samad (PH-Shah Alam) dan Chang Lih Kang (PH-Tanjung Malim) mempersoalkan pewujudan semula jabatan itu selain peruntukan yang diberikan dalam Belanjawan 2021 yang disifatkan terlalu besar ketika negara sedang menghadapi pandemik Covid-19.

Sementara itu, Dewan Rakyat menolak usul yang dicadangkan lima Ahli Parlimen pembangkang bagi memotong sepenuhnya peruntukan RM81.5 juta bagi perluasan Jasa dan RM4 juta bagi jabatan itu.

Usul itu dicadangkan Maria Chin Abdullah (PH-Petaling Jaya); Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (UPKO-Tuaran); Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai); Fuziah Salleh (PH-Kuantan); dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Bebas-Jerlun).

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah ketika menggulung perbahasan usul itu berkata semua pihak harus menetapkan semula pemikiran masing-masing berhubung jabatan berkenaan.

"Hakikatnya ialah ini bukan Jasa dan ini adalah J-Kom. Untuk J-Kom kita harus mempunyai pandangan baharu, realistik, rasional dan matang termasuk dalam menangani perbezaan pendapat antara kita.

"(J-Kom) untuk kita bangunkan pemikiran baharu tentang kepentingan dan keperluan sebenar Dasar Digital Negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Disember 2020 @ 4:42 PM