DR Asyraf Wajdi Dusuki. FOTO Arkib NSTP
DR Asyraf Wajdi Dusuki. FOTO Arkib NSTP
Amir Abd Hamid


INSTITUSI perbankan Islam diseru mengambil peluang menzahirkan ihsan berbanding mengikut jejak institusi perbankan konvensional yang tetap mengambil keuntungan terakru ketika negara berdepan krisis akibat pandemik Covid-19.

Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, bank Islam tidak wajar disibukkan dengan hanya melihat aspek kontrak atau akad bagi menghalalkan bank memperoleh keuntungan terakru akibat penangguhan pembayaran oleh pelanggan menerusi moratorium.

Sebaliknya, beliau berkata inilah masanya perbankan Islam mesti ditampilkan berbeza daripada amalan konvensional.

"Iaitu dengan menzahirkan nilai-nilai ihsan dan rasa kebertanggungjawaban sosial yang tinggi terutamanya ketika umat dilanda musibah Covid-19.

"Lebih-lebih lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mengekang pelanggan mereka daripada bekerja dan memperoleh pendapatan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam status di akaun Facebook (FB) miliknya, semalam.

Justeru, katanya, Pergerakan Pemuda Umno Malaysia mengharapkan supaya institusi perbankan Islam dapat melupuskan keuntungan terakru sewaktu tempoh enam bulan moratorium automatik yang diberikan kepada pelanggan.

Bank Negara Malaysia (BNM) pada 30 April lalu, mengumumkan pembiayaan Islam dengan kadar tetap turut berkemungkinan dikenakan caj keuntungan tambahan selepas tempoh moratorium selama enam bulan yang berkuatkuasa 1 April hingga 30 September 2020.

Berikutan timbulnya kekeliruan umum mengenai kadar faedah atau keuntungan yang dikenakan, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, semalam, saran semua institusi kewangan terbabit melupuskan terus kadar faedah atau keuntungan berkenaan.

Terdahulu, kemudahan moratorium itu diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin terangkum dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) untuk meringankan masyarakat yang terkesan secara langsung atau tidak terhadap penularan Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mei 2020 @ 5:24 PM