PASANGAN pengantin, Muhammad Faiq Faidhi Shukahar dan Nurul Syuhada Mohd Yunus sempat melangsungkan perkahwinan mereka di Pasir Putih, Kelantan, semalam. FOTO IHSAN PEMBACA
PASANGAN pengantin, Muhammad Faiq Faidhi Shukahar dan Nurul Syuhada Mohd Yunus sempat melangsungkan perkahwinan mereka di Pasir Putih, Kelantan, semalam. FOTO IHSAN PEMBACA
Amirul Aiman Hamsuddin

“MAJLIS persandingan dua anak perempuan saya terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu berikutan penularan wabak Covid-19,” kata penduduk Kampung Sungai Apong, Sungai Air Tawar di Sabak Bernam, Hadis Said, 56.

Menurutnya, mengikut perancangan dua anaknya, Siti Zulhijjah, 24, dan adiknya, Siti Nurhanishah, 19, dijadualkan melangsungkan perkahwinan mereka pada 28 Mac ini.

Bagaimanapun, dia sekeluarga reda dan penangguhan majlis perkahwinan adalah jalan terbaik walaupun kad undangan dan persiapan sudah dilakukan kira-kira tiga bulan lalu.

“Saya dan keluarga memohon maaf kepada saudara mara, rakan dan jiran tetangga kerana terpaksa menunda majlis perkahwinan ini.

“Ini kerana kami menitikberatkan soal kesihatan dan keselamatan mereka (tetamu) yang hadir ke majlis ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Hadis, majlis perkahwinan anak ketiga dan keempat itu dijangka dihadiri 1,400 tetamu pada tarikh berkenaan.

“Wang pendahuluan katering sebanyak RM6,000 sudah dibayar dan kami sekeluarga akan berbincang dengan pihak katering untuk perubahan tarikh.

“Kami juga sudah memaklumkan penangguhan majlis melalui aplikasi WhatsApp dan Facebook (FB). Tarikh baru akan dimaklumkan kepada tetamu sekiranya keadaan pulih seperti sedia-kala,” katanya.

Sementara itu, Hadis berkata, majlis pernikahan seorang anaknya, Siti Nurhanishah tetap dilangsungkan pada 27 Mac ini iaitu sehari sebelum tarikh asal majlis perkahwinan.

“Kami hanya mengundang 10 hingga 20 saudara terdekat menghadiri majlis akad nikah (Siti Nurhanishah), sementara majlis pernikahan Siti Zulhijjah sudah dilangsungkan Januari lalu,” katanya.

Sementara itu, keluarga seorang pengantin lelaki dari Kampung Sungai Sireh, Tanjong Karang bersyukur ahli keluarga mereka sempat melangsungkan pernikahan sebelum majlis perkahwinan ditangguhkan susulan Covid-19.

Muhammad Faiq Faidhi Shukahar, 27, melangsungkan pernikahan dengan pilihan hatinya, Nurul Syuhada Mohd Yunus, 27, semalam.

Kakak Muhammad Faiq, Fareena Farhana Shukahar, 33, berkata, majlis perkahwinan adiknya sepatutnya berlangsung pada 21 Mac ini tetapi ditunda akibat penularan wabak itu.

“Alhamdulillah adik selamat diijabkabulkan di Pasir Putih, Kelantan tetapi majlis persandingan sebelah kami ditunda dan akan dimaklumkan kemudian setelah keadaan kembali pulih,” katanya.

Menurutnya, persiapan majlis perkahwinan Muhammad Faiq membabitkan belanja kira-kira RM20,000 termasuk bayaran pendahuluan katering, khemah dan pelamin.

“Kami sekeluarga sudah memaklumkan kepada pihak terbabit dan mereka memahami situasi ketika ini.

“Untuk itu, saya dan keluarga memohon maaf di atas segala kesulitan yang berlaku,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mac 2020 @ 6:39 PM