SH Sitti Saleha (kanan) bersama Mohamad Sade memeriksa dokumen sebahagian 779 pati yang diusir. FOTO Hazsyah Abdul Rahman.
SH Sitti Saleha (kanan) bersama Mohamad Sade memeriksa dokumen sebahagian 779 pati yang diusir. FOTO Hazsyah Abdul Rahman.
Hazsyah Abdul Rahman


SERAMAI 779 pendatang asing tanpa izin (PATI) diusir dari Sabah melalui Pelabuhan Sandakan, semalam.

Semua PATI itu warganegara Filipina, dihantar pulang ke negara asal menaiki kapal ke Zamboanga.

Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah, Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata, pengusiran berkenaan adalah siri ke-8 bagi tahun ini, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan PATI diusir 1,994 orang.

“Sejak 30 tahun lalu, jumlah PATI yang sudah diusir seramai 593,251 orang.

“Penghantaran akan dijalankan setiap minggu dan kami menyasarkan seramai 13,000 orang untuk dihantar pulang, tahun ini,” katanya pada sidang media di Pelabuhan Sandakan, malam tadi.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, Datuk Dr Mohamad Sade Mohamad Amin berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan agensi lain bagi mengesan dan memberkas pati.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Februari 2020 @ 11:05 AM