Hannah (dua dari kanan) bersama Amiruddin menziarahi pusara Allahyarham Md Farid hari ini. FOTO IG Hannah Yeoh
Hannah (dua dari kanan) bersama Amiruddin menziarahi pusara Allahyarham Md Farid hari ini. FOTO IG Hannah Yeoh
Ekhwan Haque Fazlul Haque


TIMBALAN Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh menziarahi kubur bekas Ahli Parlimen Tanjong Piai, Datuk Dr Md Farid Md Rafik dalam kesibukan berkempen hari ini.

Hannah menziarahi pusara bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu dengan ditemani Timbalan Menteri Kewangan Datuk Amiruddin Hamzah serta adik Allahyarham Md Farid.

“Memori bersama Dr Farid kekal bersama kami. Semoga kau tenang di sana sahabat,” katanya menerusi hantaran Instagram hari ini.

Menerusi IG, Yeoh turut berkongsi beberapa gambar ketika beliau bersama Amiruddin menziarahi kubur Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam Wakaf Sheikh Haji Ahmad Kampung Chokoh, Serkat, Pontian.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjong Piai diadakan susulan kematian Md Rafik daripada Pakatan Harapan (PH) 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Enam calon bertanding membabitkan calon PH dari Bersatu, Karmaine Sardini, 66; calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng dan Parti Gerakan Rakyat Rakyat Malaysia (Gerakan), Wendy Subramaniam.

Turut bertanding Presiden Berjasa, Dr Badrulhisham Abdul Aziz dan dua calon bebas, Dr Ang Chuan Lock yang juga pengetua sebuah pusat tuisyen serta Faridah Aryani Abdul Ghaffar.

Hari mengundi ditetapkan 16 November ini manakala undi awal 12 November ini.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 November 2019 @ 10:28 PM