Jho Low
Jho Low
Mohd Husni Mohd Noor


“KITA takkan berhenti dan akan cari sampai ke lubang cacing,” kata Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan terbaru dikeluarkan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador mengenai kedudukan dan perkembangan terbaru ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, 38.

Muhyiddin berkata, pihaknya menerusi Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus memburu ahli perniagaan itu.

Mengulas mengenai tindakan beberapa negara yang enggan memberi kerjasama untuk memberkas Jho Low,

Muhyiddin berkata, beliau akui sukar untuk menahan Jho Low jika tiada kerjasama negara berkenaan.

“Walaupun ada sedikit-sebanyak maklumat yang dapat kita tahu di mana dia berada dan walaupun Polis Antarabangsa (INTERPOL) sudah naikkan notis merah (red flag)...tapi kalau tiada kerjasama negara berkenaan agak sukar untuk kita ambil tindakan.

“Kita masih berusaha dan tidak boleh putus asa. Apapun kita nak dia dibawa ke Malaysia untuk dihadapkan ke mahkamah dan serah kepada mahkamah untuk tentukan,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, Kuala Lumpur hari ini.

Ditanya mengenai kenyataan Abdul Hamid yang memaklumkan Jho Low semakin sukar dikesan kerana wajah sudah diubah, Muhyiddin berkata, pihaknya tidak akan berhenti untuk mengesan kedudukan ahli perniagaan itu.

“Kita takkan berhenti sampai kita dapat kerjasama dari negara yang kita agak di mana dia berada dan kalau dapat kerjasama INTERPOL...perkara itu akan dapat kita selesaikan,” katanya.

Abdul Hamid ketika sidang media di Tawa, Sabah hari ini berkata, negara tempat Jho Low dipercayai bersembunyi enggan memberi kerjasama kepada PDRM.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 November 2019 @ 9:38 PM