Hanneeyzah Bariah Baharin


POLIS menahan dua pelajar madrasah tahfiz di Kuala Terengganu, selepas dipercayai terbabit melakukan serangan seksual dan liwat terhadap dua pelajar junior di madrasah itu.

Dua pelajar lelaki masing-masing berusia 15 dan 17 tahun ditahan di madrasah berkenaan kira-kira 1 pagi tadi bagi membantu siasatan.

Sumber berkata, perbuatan dilakukan kedua-dua suspek terhadap mangsa masing-masing berusia 10 dan 13 tahun terbongkar selepas mangsa menceritakan kejadian kepada ibu mereka berusia 30-an pada Khamis lalu.

Katanya, ibu kedua-dua mangsa lelaki yang bimbang melihat anak mereka dalam kemurungan bertanyakan kepada pelajar itu untuk mengetahui masalah mereka sehingga bersikap demikian.

“Selepas beberapa kali dipujuk, mangsa akhirnya membuka cerita mereka sudah beberapa kali menjadi mangsa serangan seksual dan liwat dua pelajar senior berkenaan di madrasah itu.

“Mangsa berusia 13 tahun mendakwa yang dia diliwat sebanyak dua kali oleh seorang senior berusia 17 tahun di madrasah itu.

“Mangsa berusia 10 tahun pula mendakwa dia menjadi mangsa serangan seksual seorang pelajar berusia 15 tahun yang meraba kemaluannya dan turut dipaksa memegang kemaluan pelajar itu beberapa kali,” katanya.

Berikutan itu, keluarga kedua-dua mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Chendering di Kuala Terengganu bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kes berkenaan.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Seksual Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 14 (b) akta sama,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Oktober 2019 @ 7:18 PM