KAMARUZAMAN beramah mesra dengan penerima bantuan. Rafi Mamat
KAMARUZAMAN beramah mesra dengan penerima bantuan. Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


SERAMAI 45 pekerja am menerima sumbangan barangan keperluan harian dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Kuantan, semalam.

Pengarah kampus, Prof Dr Kamaruzaman Yunus berkata, mereka adalah pekerja syarikat kontraktor dilantik melakukan kerja am dalam kawasan universiti.

Katanya, bantuan keperluan harian seperti beras, biskut, minyak masak dan mi diharap dapat meringankan beban mereka yang terdiri daripada golongan berpendapatan rendah.

“Walaupun bukan kakitangan UIAM, namun peranan mereka amat besar dalam memastikan persekitaran kawasan universiti sentiasa bersih dan ceria,” katanya pada majlis penyerahan sumbangan Ramadan kepada golongan memerlukan di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah UIAM kampus Kuantan, di sini.

Kamaruzaman berkata, setiap kali Ramadan pihaknya memberi bantuan barangan keperluan harian dan wang tunai kepada golongan memerlukan sebagai persiapan mereka menyambut Aidilfitri.

Sementara itu, seorang penerima Mahmud Salleh, 70, berkata, dia sentiasa menerima bantuan dari pihak UIAM dan bantuan itu bukanlah diberikan ketika musim perayaan sahaja.

“Saya bekerja sebagai tukang kebun di sini sejak enam tahun lalu dan pihak universiti memang sentiasa memberi perhatian terhadap nasib kami.

“Bantuan keperluan harian diterima boleh digunakan untuk menyambut Aidilfitri minggu hadapan,” katanya yang menetap di Kampung Bukit Kuin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mei 2019 @ 9:14 AM