Wajah suspek yang dirakam CCTV. FOTO Rosli Ilham
Wajah suspek yang dirakam CCTV. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


SEORANG lelaki diburu polis kerana mencuri wang tunai RM400 dari tabung anak yatim selepas memecah masuk sebuah kafeteria di dalam sebuah kedai dobi dekat Bandar Baru Kerteh, Chukai, semalam.

Pengurus kedai dobi terbabit, Mohd Ridzwan Mohd Hanaffi, 31, berkata, dia menyedari kejadian itu selepas mendapati pintu kafeteria diumpil jam 5.30 petang semalam.

Katanya, ketika membuat pemeriksaan, dia mendapati wang dalam tabung yang berada di kaunter kafeteria itu hilang.

“Saya membuat pemeriksaan melalui kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati seorang lelaki berusia 30-an melarikan wang itu, jam 1.40 tengah hari semalam.

“Saya sedih kerana wang itu sepatutnya dikutip pihak pengurusan anak yatim dari Bangi, Selangor pada akhir bulan ini,” katanya ketika ditemui di premisnya, hari ini.

Katanya, dia membuat laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Kerteh, kira-kira jam 2 petang tadi.

“Kejadian sama pernah berlaku pada Januari tahun lalu membabitkan kecurian tabung kutipan yang sama,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung dengan suspek diminta menghubungi polis.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 January 2019 @ 6:40 PM